AMIR (kanan) terkejut dengan pemergian ayahnya.
AMIR (kanan) terkejut dengan pemergian ayahnya.
Georgie Joseph

 

BAPA kepada penyanyi, Amir Hasan, 24, iaitu Abu Hasan Abdul Aziz, 65, meninggal dunia akibat kanser limfoma di Hospital Kuala Lipis, Pahang, jam 2.33 pagi hari ini.

Amir ketika dihubungi berkata, pemergian bapanya sangat mengejutkan selepas dimasukkan ke hospital berkenaan beberapa minggu lalu.

"Dugaan ini amat berat untuk keluarga saya memandangkan saya anak tunggal. Ketika kita berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dan berpuasa, tiba-tiba saya kehilangan ayah pula.

"Kami pun baru tahu ayah menghidap kanser limfoma kerana sebelum ini dia sihat-sihat saja. Menurut doktor, kanser itu sangat agresif dan merosakkan buah pinggangnya dalam tempoh dua hari selain organ dalaman lain.

"Ayah sepatutnya dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan rapi selepas keadaannya semakin merosot. Namun, tidak sangka dia pergi awal pagi ini meninggalkan saya dan ibu," katanya.

Penyanyi yang dikenali dengan lagu Gadis Yang Ku Tunggu (GYKT) itu bagaimanapun bersyukur dapat meluangkan masa bersama Allahyarham bapanya di saat-saat terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Dia juga bersyukur kerana bapanya meninggal dunia dalam bulan Ramadan.

"Ketika di hospital, saya yang menguruskan ayah. Saya menjaganya dengan rapi dan cuba sedaya-upaya memastikan rawatannya berjalan lancar dan mendapat kesembuhan," katanya yang reda dengan pemergian bapanya itu.

Allahyarham dikebumikan di Raub, Pahang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 2:46 PM