NAJUA mahu jadi artis versatil seperti datuk. FOTO Arkib NSTP
NAJUA mahu jadi artis versatil seperti datuk. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan penyanyi, Najua P Ramlee tidak kisah sekiranya ada yang menganggapnya terlalu mencuba untuk menempa nama di dalam industri seni.

Selepas mencuba nasib dalam bidang muzik dan lakonan, Najua, 33, kini mencabar dirinya sebagai pelawak pula.

“Saya tak kisah apa orang nak cakap mengenai saya. Bila rasa nak buat sesuatu, saya akan buat. Kalau tidak, saya tak akan tahu apa hasilnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut cucu kepada legenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu lagi, dia juga ingin menjadi artis yang versatil di samping meneruskan legasi darah seninya.

“Kalau boleh, mestilah saya nak teruskan legasi seni yang diwarisi daripada datuk. Saya nak jadi versatil dan boleh melakukan banyak cabang seni,” katanya.

Terbaru, Najua kini menjadi seorang daripada 18 peserta program komedi terbaru di Astro Warna, Miss Lawak 2019.

“Saya dapat tahu mengenai sesi uji bakat Miss Lawak daripada kawan. Pada awalnya, saya tak ada niat untuk cuba pun.

“Tapi, bila difikirkan balik, tak rugi kalau saya cuba nasib. Tak sangka pula komedi spontan saya mencuri perhatian juri dan layak menjadi 18 peserta,” katanya.

Miss Lawak 2019 menampilkan Datuk Afdlin Shauki sebagai pengacara di samping dua juri tetap iaitu Datuk AC Mizal dan Erra Fazira.

Program komedi itu akan mula ditayangkan pada 6 Mac depan, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:24 PM