Fadhli Masoot
Fadhli Masoot
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Alang! Tak kelakar!." Itu antara perkara yang membuatkan pelakon, Fadhli Masoot yang mesra disapa dengan panggilan Alang trauma dan hilang keyakinan untuk menjadi pelawak.

Fadhli, 28, berkata, insiden yang menyebabkan dia trauma sehingga sehingga kini itu berlaku ketika zaman belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Sewaktu zaman belajar, saya dipanggil untuk sertai satu program 'stand up comedy' di tempat belajar saya. Senior saya jemput sertai dan bagi semangat, katanya kalau saya sertai, saya akan jadi junior pertama yang sertai.

"Bila saya buat persembahan, ia tak kelakar dan hambar. Sampaikan, ada orang jerit, 'Alang! Tak kelakar!' dan saya menangis selama seminggu sebab trauma itu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Fadhli, semangatnya dan keyakinannya kembali dibina apabila ditawarkan berlakon dalam drama Projek: Anchor SPM.

"Insiden itu merosakkan keyakinan saya sampailah saya mengenali Abang Razaisyam Rashid yang mengarahkan saya dalam drama Projek: Anchor SPM.

"Di situlah bermulanya titik tolak untuk saya naikkan semula keyakinan saya. Itu pun, setiap kali saya habis penggambaran, saya akan hubungi dia dan bertanya sama ada saya okay tak berlakon," katanya.

Kini, Fadhli yang popular menerusi drama Projek: Anchor SPM dan Projek: High Council mensasarkan untuk menjadi pelakon versatil dan menyahut cabaran sekiranya diberikan watak komedi.

"Saya pelakon yang boleh membawa watak komedi, tapi saya bukan pelawak. Kalau nak suruh saya berdiri dan buat lawak sebagai Fadhli Masoot, memang 'hauk'.

"Kalau letakkan karakter, buat orang ketawa, itu boleh. Tapi, bukan untuk jadi diri sendiri," katanya.

Terbaharu, Fadhli bergandingan dengan pelakon, Trisha Ooi dalam drama Ya, Cikgu yang akan ditayangkan di TV3 pada hari pertama hingga hari kelima Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 12:19 PM