Haliza Misbun. FOTO AZHAR RAMLI
Haliza Misbun. FOTO AZHAR RAMLI
Najiy Jefri


PELAKON Haliza Misbun mendedahkan bakal melangkah ke fasa seterusnya dengan jejaka Inggeris yang dikenalinya sejak lima tahun lalu.

Haliza berkata, tarikh untuk menuju fasa baru belum diputuskan namun ia akan berlangsung dalam waktu terdekat.

“Insya-Allah kami dalam proses untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam waktu terdekat.

“Namun belum ada tarikh rasmi, cuma perancangan menuju ke fasa baru itu sudah ada.

“Siapakah lelaki itu, saya lebih selesa untuk tidak mendedahkanya. Biarlah rahsia,” ketika ditemui pada majlis pelancaran teater Pokok di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Teater Pokok bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 hingga 16 Disember ini.

Menurut Haliza, diusia 45 tahun ini dia memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi perihal peribadinya kepada umum.

“Saya selalu berfikir apakah saya masih lagi penting dan ada lagi ke orang nak tahu kisah peribadi saya.

“Kalau boleh saya cuba menjarakkan diri antara kerjaya dan peribadi. Bagi saya, kalau nak jadi pelakon yang baik kita tidak boleh terlalu dedahkan kisah peribadi terlalu banyak.

“Kita perlu ada misteri dalam diri kerana penonton tidak dapat membezakan karakter sebenar dengan apa yang dipaparkan di layar.

“Sebab itu, saya memilih untuk tidak terlalu berkongsi kisah harian saya di media sosial. Cukuplah sekadar khalayak tahu kehidupan kerjaya seni saya sebagai pelakon saja,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 8:35 PM