HALIZA Misbun. FOTO Zunnur Al Shafiq
HALIZA Misbun. FOTO Zunnur Al Shafiq
Amirul Haswendy Ashari


Nama Haliza Misbun, 45, cukup gah sekitar dua dekad lalu terutama melalui drama Cinderella yang pernah bersiaran menerusi TV3 pada 1998.

Drama popular menggabungkan Haliza dan Ahmad Idham itu menjadi fenomena serta impaknya jauh lebih besar berbanding gabungan pasangan pelakon seperti Lofattah (Neelofa dan Fattah Amin) atau Ayda Jebat dan Zul Ariffin.

Terbaru, mereka berdua bergabung kembali pada satu babak dalam filem Pencuri Hati Mr Cinderella arahan Ahmad Idham Nadzri yang bakal ditayangkan 10 Ogos ini.

Paling mengejutkan, peminat bagaikan histeria tatkala menonton babak itu pada malam gala tayangannya pada Khamis lalu. Malah, ada yang menganggap legenda ‘Cinderella bernafas kembali’.

Haliza akui terkejut melihat reaksi penonton kerana masih ada yang merinduinya.

Katanya, rasa terharu seperti hendak menangis pun ada.

“Selepas 20 tahun, orang masih ingat sudah tentu saya sangat terharu. Biarpun sekadar satu babak untuk filem ini, sejak mula berlakon saya diasuh Datuk Rahim Razali, saya tidak kisah pun. Berapa banyak babak pun saya perlu tampil, perlu beri yang terbaik dan memberi kesan paling besar kepada penonton,” katanya.

Bagi Haliza, soal muncul dalam satu atau dua babak tidak timbul sebaliknya sebagai anak seni yang dididik melalui teater, setiap babak sangat berharga bagi orang seni sepertinya.

Katanya, pada satu babak itulah mereka akan memanipulasinya sehingga ia menjadi betul-betul berkesan bagi mereka yang menonton.

“Kalau impak diberi sehingga pelakon lain ‘tercampak’, itu bukan salah saya. Sebab bagi saya setiap pelakon ada tanggung jawab untuk menonjolkan watak masing-masing,” katanya ketawa.

Walaupun sering dilabel pelakon hebat, Haliza akui apabila tiada dialog, ia menyukarkan kerjanya kerana banyak kajian yang perlu dilakukan.

Katanya, dia perlu berusaha lebih keras menerusi gerak tubuh dan mata. Berbeza apabila ada dialog, hal-hal tersirat dan tersurat masih boleh diatasi.

Haliza juga mendedahkan, dia menerima tawaran berlakon daripada Ahmad Idham kerana rakannya itu menghargai bakat, selain bayaran diterima sesuai dengan pengalaman yang ada.

“Soal bayaran mahal tidak timbul tetapi saya sangat berpuas hati dengan segala layanan diberi. Apabila berada di set, saya meletakkan sepenuh kepercayaan padanya sebab tahu apa yang dia lakukan adalah untuk dapatkan hasil terbaik,” katanya.

Rasa sayang bertambah kuat

Walaupun hanya satu babak, sebab lain Haliza Misbun terima tawaran Ahmad Idham untuk membintangi filem Pencuri Hati Mr Cinderella kerana kesinambungan yang wujud melalui drama itu.

Katanya, antara dirinya dan Ahmad Idham ada sejarah dan ketika berlakon dalam drama itu banyak perkara yang timbul.

“Selepas 20 tahun apabila diberi peluang untuk muncul kembali dalam cerita sama, saya rasa macam terlalu banyak perkara belum selesai.

“Jika ada yang belum selesai, inilah masanya menyelesaikannya. Kita semakin dewasa dan kalau 20 tahun lalu kami tidak berada dalam keadaan ‘selesa berbual’.

“Jadi selepas 20 tahun, kami sudah dewasa dan ia semuanya jadi lain. Apabila berhubung semula, ikatan bertambah utuh dan kuat sebab asas itu sudah ada,” katanya.

Haliza akui, rasa sayang terhadap Ahmad Idham sebagai sahabat baik bertambah kukuh.

Namun, dia perhatikan rakannya itu sangat taksub dengan Cinderella seperti filem Mr Cinderella lakonan Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim pada 2002 dan filem Cinderella lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose pada 2013.

Malangnya, Haliza berpendapat dua rendisi dibuat sebelum ini gagal mendapat perhatian penonton. Dalam nada seloroh, Haliza mempersoalkan mengapa Ahmad Idham hasilkan filem itu tanpa dirinya.

“Kenapa dia buat dua filem itu tanpa saya? Apa masalah dia? Saya kata saya masih hidup!” katanya.

Tidak lama kemudian, Haliza akui terdetik menghubungi Ahmad Idham dan beritahu disebabkan rakannya itu taksub dengan Cinderella, dia terbuka untuk memberi sokongan sepenuhnya.

Haliza dan Ahmad Idham juga bertuah sebab penulis skrip asal drama Cinderella, Mohd Noor Kadir bersetuju menulis semula skrip baru untuk dijadikan filem.

Itu pun selepas Mohd Noor gembira dengan hasil usaha ditunjukkan dua bekas pelakon utamanya itu menghasilkan babak akhir dalam filem Pencuri Hati Mr Cinderella.

Pada awalnya, Mohd Noor tidak mahu lagi meneruskan penceritaan Cinderella terutama selepas tamatnya siri itu pada 1998.

“Saya tidak kisah kalau orang terus kata saya hidup sebab Cinderella. Bagi saya watak itu terlalu agung dan sempurna. Jadi apabila dapat watak lain, ia sekadar mengisi kekosongan yang ada.

“Tetapi abadi, kekuatan dan lagendanya watak itu sangat sukar dilawan. Kita sanggup tunggu bertahun-tahun untuk ulang semula,” katanya jujur.

Kali terakhir membintangi filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami! pada 2010, Haliza juga baru sahaja habis penggambaran drama Semusim Rindu untuk Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:55 AM