ZAMANI
ZAMANI
Cik Pang

Kecoh dan ribut betul kisah penyanyi Zamani sepanjang minggu lalu. Bukan saja kerana kegagalannya menyanyi dalam Konsert Minggu Kelima GV tapi apa yang berlaku turut membongkar cerita yang tersimpan kemas selama ini.

Tiba-tiba tercetus persoalan siapa pengurus sebenar Zamani. Maklumlah selama ini semua orang industri tahu Zamani diuruskan oleh Johan Aziz ketika bersama Slam sejak 26 tahun lalu.

Namun, kini wujud pula individu bernama Aalan Ahmad yang mengaku bertanggungjawab menjaga Zamani dan menguruskan penyertaan Zamani dalam GV.

Cik Pang dan teman-teman sendiri jadi keliru apabila Johan mengeluarkan kenyataan mahu mengeluarkan Zamani daripada GV kerana berasa kecewa dengan apa yang berlaku.

Manakala Aalan pula sebaliknya menafikan perkara itu dan mengakui Zamani naik ke pentas atas kehendak sendiri.

Cik Pang difahamkan Johan dan Aalan bukan orang lain dengan Zamani kerana kedua-duanya akrab dengan artis lelaki pujaan ramai peminat ini.

Aalan mulanya ditugaskan sebagai pembantu peribadi Zamani, namun selepas mengumpul pengalaman, dia mula memberanikan diri mencari ‘show’ dan menguruskan Zamani.

Bagi Cik Pang, ia bukan isu besar kerana yang penting, kebajikan Zamani perlu dijaga sebaik mungkin dan segala urusan perlu dibuat secara profesional.

Apabila timbul isu ini, Cik Pang berpendapat sangat wajar jika Zamani sendiri buka mulut menjelaskan keadaan sebenar sekali gus menjelaskan siapa pengurusnya yang sebenar sekarang.

Tak perlu nak gaduh dan kaitkan ramai orang kerana tiada untungnya pun. Lagipun industri hiburan kita bukan besar sangat. Pusing-pusing nanti akan bertemu juga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 1:00 PM