ZAMANI (kiri) dan Johan Aziz.
ZAMANI (kiri) dan Johan Aziz.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Zamani Ibrahim, 50, tidak ada masalah untuk kembali bekerjasama dengan bekas pengurusnya, Johan Aziz.

Walaupun sudah membawa haluan sendiri, Zamani mengakui masih mengingati hubungan silaturahim antara mereka yang terjalin sejak 23 tahun lalu.

"Malam ini baru saya berpeluang bersemuka dengan abang Jo (Johan) secara maya walaupun tak sempat berbual. Lepas ini mungkin saya akan berjumpa dengan dia. Saya amat menghormatinya.

"Cuma dari segi kerjaya sekarang, saya bergerak sendiri. Pada saya abang Jo seorang yang komited pada tugasnya," katanya.

Zamani berkata demikian menerusi temubual sebagai tetamu program Bicara With Kopstar (Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad) dengan topik Pelbagaikan Sumber Pendapatan Bersama Johan Aziz Sup Gearbox Tulang Merah yang disiarkan di Facebook Kopstar, baru-baru ini.

Tanpa berselindung, Zamani yang mencipta nama bersama kumpulan Slam mengakui menyayangi Johan seperti abangnya sendiri.

"Saya pun sayang abang Jo tapi bila berlaku benda begini, saya susah nak cakap banyak takut nanti tersalah cakap. Lebih baik saya jumpa dia selepas ini," katanya.

Sebelum ini, penyertaan Zamani dalam program Gegar Vaganza 5 (GV5) pada 2018 menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat.

Episod ini bermula selepas Zamani gagal membuat persembahan pada konsert minggu kelima.

Berikutan itu, Johan yang mencungkil bakat Zamani sejak awal pembabitannya bersama Slam mengeluarkan kenyataan mahu mengeluarkan Zamani daripada GV5 kerana berasa kecewa dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Zamani tampil dengan kenyataan pembabitannya sepanjang dalam GV5 di bawah tanggungjawab pengurus, Aalan Ahmad dan bukannya Johan.

Aalan pula kemudian mengesahkan Zamani sudah menandatangani kontrak di bawah syarikat pengurusannya.

Pada Disember 2018, Zamani menubuhkan ZIME Production kendalian syarikat pengurusannya sendiri bersama keluarga.

Aalan mulanya dikekalkan sebagai pengurus, namun pada Julai 2019, Aalan tampil dengan dakwaan tidak lagi menguruskan kerjaya Zamani sejak dua bulan sebelumnya.

Zamani kini terbabit dengan satu produksi menghasilkan 100 lagu Melayu pada era 1960-an sehingga 2000 terbitan Azmeer.

Dia menyanyikan semula empat lagu lama antaranya Bunga Tanjung nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Terasing (Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:34 PM