Aalan Ahmad bercakap pada Sidang Akhbar Indera Entertaiment berhubung isu duit kutipan konsert buat Zamani di Restoran Hameediyah Jalan Kolam Air Lama Kuala Lumpur. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
Aalan Ahmad bercakap pada Sidang Akhbar Indera Entertaiment berhubung isu duit kutipan konsert buat Zamani di Restoran Hameediyah Jalan Kolam Air Lama Kuala Lumpur. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
Ridzuan Abdul Rahman


Ampang: "Saya buat konsert untuk Zamani bukan untuk saya. Kalau dapat untung RM4,000, tergamakkah saya nak ambil? Pastinya saya akan bagi pada dia. Konsert untuk Zamani bukan saya," kata Aalan Ahmad, penganjur Konsert Doa Buat Zamani pada sidang media yang berlangsung di sini, hari ini.

Ia diadakan berikutan isu hangat dakwaan isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani terhadap dirinya yang dikatakan melarikan wang jualan tiket konsert terbabit.

"Bukan nak besarkan atau panjangkan isu tapi ia demi maruah yang tercalar. Saya ada keluarga, ada isteri, anak dan mentua. Pada Zamani saya minta maaf kerana terpaksa panjangkan isu ini. Saya dah hubungi awak selama tiga hari tapi tak berjawab. Dia bertindak mendiamkan diri," katanya.

Aalan berkata, konsert ini sememangnya anjuran Indera Entertainment yang juga miliknya bersama Zamani.

"Boleh rujuk pada sidang media sebelum ini. Zamani ada buat ucapan. Pada mulanya ada pihak nak biayai, tapi atas perbincangan dengan Zamani, dia kata kita buat sendiri dan kos keluar sendiri.

"Saya cuba cari penaja tapi susah nak dapat penaja dalam keadaan sekarang. Saya cuba mohon dana kreatif tapi ditolak," katanya.

Aalan turut menjelaskan pembahagian keuntungan ialah 70 peratus untuk Zamani, manakala 30 peratus untuknya.

"Kita kena tahu konsep pembahagiannya. Kalau jemput dia menyanyi memang ada bayaran, tapi yang ini adalah konsertnya sendiri. Pembayaran atas keuntungan dan dipersetujui bersama. Namun, tiada surat perjanjian kerana ia atas kepercayaan.

"Kami kenal sejak usia saya 17 tahun. Saya kecewa, sepatutnya isu dalaman tak perlu heboh di luar," katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak berpengalaman menganjurkan konsert dan terpaksa meminta bantuan syarikat Ecolane Ventures untuk membantu.

"Tiket sememangnya tak jual namun dibantu dengan pembelian tiket Tuanku Permaisuri Selangor. Kami sebenarnya buat rakaman untuk program TV. Jadi kena cantikkan penuhkan lokasi dengan jemput peminat, bagi tiket pada polis, tentera dan stesen radio.

"Tak boleh nak tangguh kerana babitkan banyak pihak. Saya tak nak sebarkan isu tiket sebab akan memalukan dia," katanya.

Aalan berkata, kesan terhadap Zamani sangat besar sekiranya heboh konsertnya tidak laku.

"Mereka macam paksa saya 'declare' perkara ini. Sebenarnya tiga hari sebelum konsert, saya ada buat latihan dengan Zamani. Saya beritahu mesti penuhkan tempat itu. Nak nampak cantik. Saya buat untuk dia dan dia setuju.

"Ecolane ada bagi penyata berjumlah RM107,120. Apabila saya semak dengan Myticketsasia jumlah keseluruhan ialah RM124,000. Mereka akan tolak untuk beberapa kos.

"Ia belum 'closing' kerana makan masa. Keuntungan akan ada apabila program ini dibeli oleh stesen TV. Isterinya tak faham," katanya.

Menjelas lanjut, Aalan berkata, penganjuran konsert memerlukan kos sekitar RM200,000.

"Perkara ini saya tak mampu buat seorang diri. Saya dah tunjuk semuanya pada Zamani. Saya bukan berurusan dengan isteri dia. Saya dah kenal Zamani lama dan anggap macam abang. Mana kawan-kawan untuk bantu dia? Maruah saya dah tercalar.

"Saya nak warganet tahu benda sebenar. Untuk pengetahuan semua Zamani tak suka meminta-minta.

Saya cuba dari tak cuba langsung. Siapa nak tolong dia lepas pembedahan?," katanya.

Terdahulu, Aalan dalam kenyataannya kepada Harian Metro berkata, tiket konsert berkenaan hanya terjual sebanyak 365 keping dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.

"Jumlah itu kemudiannya dicampur dengan tiket pembelian Tuanku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120," katanya.

Selepas ditolak pelbagai kos, mereka hanya mencatat keuntungan sebanyak RM4,635.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 4:30 PM