GAMBIT
GAMBIT
Cik Pang

Sebelum ini ramai bercerita mengenai kemesraan dipaparkan pelakon utama drama bersiri Shhh.. I Love You (SILY), Gambit Saifullah dan Elvina Mohammad tampak benar-benar hidup.

Mereka dikatakan benar-benar menghayati watak dilakonkan sebagai Kapten Aidan dan Nadia yang bercinta, berkahwin dan berdepan konflik dalam perhubungan.

Malah sebelum ini dalam Selebriti Metro Ahad dikatakan kemesraan itu menyebabkan kekasih Gambit cemburu dan meluahkannya di laman sosial. Bagaimanapun Gambit menafi dan menyifatkan mereka berdua profesional dalam menjayakan watak diberikan.

Terbaru, ada cerita hangat sampai ke telinga Cik Pang mengatakan kemesraan yang wujud antara mereka sebenarnya bukan hanya dalam drama tetapi juga di luar lokasi. Atau dengan kata lain, wujud cinta lokasi antara mereka berdua.

Cik Pang sebenarnya enggan ambil pusing cerita ini kerana ia sesuatu yang serius. Tambah pula kebelakangan ini apabila drama bersiri keluar, pasti timbul cerita kononnya pelakon utama benar-benar bercinta. Ia seolah-olah satu promosi untuk menarik perhatian penonton mengikuti drama yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

Tapi berbeza dengan kisah antara Gambit dengan Elvina apabila sumber itu benar-benar menegakkan cerita yang disampaikan kepada Cik Pang sehingga menunjukkan bukti.

Katanya, lihat saja aksi mesra mereka sewaktu menyertai jelajah promosi Bas Drama Sangat yang sempat dirakamkan penganjur dan media yang mengikuti program dianjurkan.

Cik Pang lihat ketika sesi bermesra dengan peminat, dua pelakon itu bergurau senda apabila Gambit cuba merampas kerusi yang mahu diduduki Elvina sewaktu acara kerusi muzikal hingga jari Elvina tercedera. Menyedari perkara itu, Gambit cepat-cepat mengurut jari serta memujuk Elvina.

Berdasarkan rakaman itu, Cik Pang tidak nafikan gaya Gambit sangat romantis. Wanita mana pun yang menyaksikannya akan ‘cair’.

Begitupun, kita hanya menganggap perkara itu hanya permainan kedua-dua pelakon ini. Maklum sajalah drama lakonan mereka sedang disiarkan, jadi pastinya sebaik mungkin Gambit dan Elvina cuba memainkan peranan agar sedikit perlakuan mereka boleh menimbulkan cakap-cakap keliling sekali gus dikaitkan dengan SILY.

Tidak cukup dengan itu, datang pula seorang teman memberitahu kejadian itu berlaku bukan untuk menarik perhatian umum terhadap drama lakonan mereka, sebaliknya ia spontan dan datang dari Gambit sendiri.

Kata teman itu lagi, sebelum berpisah selepas selesai promosi Bas Drama Sangat, Gambit bertemu dengan Elvina dan membuat pengakuan dia tidak tahu mengapa kebelakangan ini selepas penggambaran SILY tamat, tidurnya sering terganggu kerana mimpikan Elvina.

Gambit juga memberitahu Elvina, kalau dia punya kelapangan agar menghubunginya dan keluar untuk bertemu.

Cik Pang yang mendengar pun melopong mulut seperti tidak percaya Gambit berkata begitu kepada Elvina. Sekali lagi Cik Pang berharap perkara itu sengaja dibuat untuk menarik perhatian penonton terhadap drama yang mereka bintangi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:39 AM