AFDLIN memaklumkan ibunya meninggal dunia di akaun Instagramnnya. FOTO Instagram Afdlin Shauki
AFDLIN memaklumkan ibunya meninggal dunia di akaun Instagramnnya. FOTO Instagram Afdlin Shauki
Michelle Gun


IBU kepada pelakon dan pelawak Datuk Afdlin Shauki, Fadzilah Jelani meninggal dunia akibat komplikasi berikutan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, 5.56 petang semalam.

Pengurus Afdlin, Marcella berkata, arwah dimasukkan ke IJN pada 7 Oktober lalu untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Arwah menjalani pembedahan selepas dua hari di hospital iaitu pada 9 Oktober,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Marcella berkata, pembedahan itu bagi membetulkan masalah jantung tersumbat arwah yang berusia 70 tahun.

“Jenazah ibu Afdlin selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, 10.30 pagi tadi,” katanya.

Difahamkan arwah sudah beberapa kali menjalani rawatan akibat diserang penyakit jantung.

Semalam, Afdlin menerusi Instagram memaklumkan ibunya menghembuskan nafas terakhir di IJN.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ibu tersayang kembali ke rahmatullah pada hari ini.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 1:50 PM