Jay Jay
Jay Jay
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Jay Jay, 66, dilaporkan sudah sedar pada jam 7 pagi, hari ini selepas selesai menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), tengah hari, semalam.

Penyanyi Rozita Rohaizad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata, dia dimaklumkan oleh anak penyanyi itu, Cammy, bapanya sudah sedar sejak pagi tadi selepas menjalani pembedahan selama enam jam itu.

"Cammy beritahu dia dalam perjalanan ke wad dan diberitahu pihak IJN, bapanya sudah sedar pada jam 7 pagi tadi tetapi masih dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi).

"Buat masa ini, kami masih tidak menerima sebarang pelawat kerana mahu bapa berehat selama beberapa hari kerana dia masih lagi dirawat di ICU.

"Kami akan maklumkan bila boleh menerima pelawat selepas bapa dipindahkan ke wad biasa nanti," katanya kepada Harian Metro.

Dalam laporan sebelum ini, Isteri Jay Jay, Zaitoon berkata, penyanyi itu kini ditempatkan ICU, IJN selepas selamat menjalani pembedahan selama enam jam pada jam 12.55 tengah hari, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:55 PM