HAZMEER reda dengan pemergian anaknya yang mengalami masalah jantung sejak dilahirkan. FOTO Instagram Hazmeer Hassan
HAZMEER reda dengan pemergian anaknya yang mengalami masalah jantung sejak dilahirkan. FOTO Instagram Hazmeer Hassan
Georgie Joseph


ANGGOTA kumpulan lawak XOXO, Hazmeer Hassan reda dengan pemergian bayi lelakinya Muhammad Sher Harraz yang berusia hampir empat bulan apabila disahkan meninggal dunia 8.40 pagi, hari ini.

Hazmeer berkata, anaknya akan dikebumikan hari ini dan dia memohon orang ramai sedekah al-Fatihah buat arwah.

“Dukacita saya maklumkan anakanda kami Sher Harraz kembali ke Rahmatullah pada 8.40 pagi tadi. Arwah akan dikebumikan di Felcra Ramuan Cina, Lubok Cina, Melaka sebelum atau selepas solat Asar nanti.

“Sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat Sher Harraz. Nyata Allah lebih sayang padanya.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua keluarga terdekat serta sahabat yang prihatin datang dan melawatnya. Tidak terhitung ramainya untuk saya sebut satu-satu tapi sebab kamu, kami kuat,” katanya.

Terdahulu, berita anaknya memerlukan bantuan kos rawatan disebabkan masalah jantung sejak dilahirkan menjadi tular Ogos lalu.

Atas bantuan rakan selebriti, ia sedikit sebanyak membantunya menampung kos rawatan anaknya sebanyak RM18,000 di Institut Jantung Negara (IJN).

Sher Harraz mempunyai masalah injap jantung terbalik menyebabkan kekurangan darah memasuki paru-parunya sejak dilahirkan pada 16 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:04 PM