(DARI kiri) Kaew, Zizan dan Afdlin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
(DARI kiri) Kaew, Zizan dan Afdlin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Amirul Haswendy Ashari

Filem Bikers Kental 2 yang bakal ditayangkan 14 Mac ini meninggalkan banyak kenangan buat barisan pelakonnya.

Terutama Zizan Razak yang pernah membintangi Bikers Kental pada 2013 bersama Allahyarham Harun Salim Bachik yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mac 2015.

Diminta berkongsi rasa ketiadaan arwah Harun yang membawa watak Aidil sebelum ini, Zizan akui ia memberi kesan besar kepada filem sekuel itu.

“Apa sekali pun filem ini kena teruskan dan digantikan dengan watak Datuk Afdlin Shauki. Kita tahu, ramai merindui watak dilakonkan arwah.

“Bila digantikan dengan Afdlin, beliau berjaya memberi kejutan luar biasa kepada penceritaan,” katanya.

Pelakon yang juga pengacara itu bagaimanapun berkata penonton tidak akan melupakan watak lalu cuma dengan kehadiran watak baharu seperti Afdlin, ia menjadi lebih baik.

Disebabkan itu, ketiadaan arwah Harun tidak memberi masalah sepanjang penggambaran.

“Ketika penggambaran, kami melalui lokasi sama seperti babak di bengkel. Sedih sebenarnya bila arwah tiada.

“Hari pertama dan kedua, saya kekok tapi apabila sering berlatih dialog dengan Afdlin, saya kembali okay,” katanya.

Tanpa berselindung, Zizan ialah peminat arwah sedari kecil dan menganggap Harun pelawak yang sangat dihormati.

Katanya, arwah bukan pelakon biasa yang mampu membuat orang ketawa dek watak kelakar tetapi juga mampu memberi kesan sangat mendalam.

Malah, Zizan pernah menyatakan minat kepada Harun ketika kali pertama bertemu dengannya.

“Saya minat cara dia yang bukan sekadar pelawak ‘kosong’. Terlalu banyak kenangan dengan arwah. Nak kata filem ini sebagai ‘tribute’ kepada arwah, mungkin juga tapi apabila watak Afdlin tercipta, ia satu kesinambungan yang sempurna kepada watak Harun dulu,” kata Zizan.

AFDLIN gembira dapat melakukan aksi pertarungan sendiri.
AFDLIN gembira dapat melakukan aksi pertarungan sendiri.

Bagi Afdlin pula, Bikers Kental 2 adalah filem pertama selepas lima tahun tidak muncul dengan filem tempatan.

Afdlin setuju membintangi Bikers Kental 2 kerana mahu ‘membantu’ rakannya yang juga pengarah filem itu, Helmi Yusof.

Katanya, Helmi pengarah fotografi untuk kebanyakan filemnya sebelum ini termasuk Papadom pada 2008.

Helmi menghubungi Afdlin dan menyatakan hasrat mahu pelakon itu menjayakan Bikers Kental dengan membawakan watak Aidid.

Afdlin berkata dia tidak berdepan banyak masalah menjayakan watak itu kerana sering berbincang dengan Helmi dan rakan pelakon lain.

“Saya teruja dapat buat sendiri aksi pertarungan. Mula-mula kekok sebab sudah lama tak buat. Babak menunggang motosikal tiada masalah kerana selalu saja melakukan aktiviti itu.

“Kebetulan babak berlawan menggunakan khidmat pelagak aksi yang sama ketika saya menjayakan filem Berani Punya Budak jadi mereka tahu kekangan dan kekuatan saya.

“Saya ada seni bela diri Aikido, jadi mereka koreograf gerak berlawan mengikut seni bela diri yang saya ada,” katanya yang ada kesan lebam di badan kerana sudah lama tidak bertarung selain faktor usia.

Afdlin turut berkongsi cabaran yang meletihkan ketika penggambaran menunggang motosikal dari Lembah Klang ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Katanya, Awie dan Zizan juga merasai pengalaman yang memenatkan kerana terpaksa berhenti banyak kali ketika menunggang selain terpaksa berdepan cuaca panas terik dan hujan.

ANTARA babak menarik dalam Bikers Kental 2.
ANTARA babak menarik dalam Bikers Kental 2.

Pelakon berketurunan Thai-Burma, Kaew Korravee Pimsuk yang memegang watak Saiya Sukhapon turut berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran filem itu di Phuket.

Katanya, bekerja dengan Zizan dan pelakon lain disifatkan sangat menghiburkan malah mereka sentiasa bergurau senda di set penggambaran.

“Zizan selalu melayan perangai saya yang suka membuat video pendek di set. Saya harap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa depan,” katanya ringkas.

Selain Afdlin, Zizan dan Awie, filem Bikers Kental 2 dibintangi pelakon hebat seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Julangtip Sukkasem dan muka baharu dari Thailand yang juga peninju Muay Thai serta ahli bina badan popular, Pont Cranium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 7:01 AM