SHER bergambar dengan sebahagian penyokong pasukan West Indies yang menonton perlawanan kriket itu. FOTO PTI
SHER bergambar dengan sebahagian penyokong pasukan West Indies yang menonton perlawanan kriket itu. FOTO PTI
Agensi

NEW DELHI: Seorang lelaki Afghanistan yang melawat ke India untuk memberi sokongan kepada pasukan kriket negara itu tiba-tiba menjadi selebriti selepas menjadi perhatian kerana memiliki ketinggian luar biasa.

Sher Khan yang memiliki ketinggian 2.48 meter tidak dibenarkan masuk ke hotel dan dia juga terpaksa diiringi polis selepas dikerumuni beratus-ratus orang yang datang semata-mata untuk melihatnya.

Lelaki itu yang berasal dari Kabul datang ke Lucknow untuk menonton perlawanan kriket antara Afghanistan dan pasukan West Indies pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, setibanya dia di bandar itu, penduduk terkejut melihat ketinggian luar biasa yang dimilikinya.

Dalam tempoh beberapa jam, berita mengenai Sher dan ketinggian luar biasanya itu mula tersebar menyebabkan orang ramai mula mengekorinya.

Lebih malang lagi, apabila tiba di sebuah hotel di bandar itu Sher tidak dibenarkan menginap dengan alasan tiada bilik yang sesuai dengan ketinggiannya.

Pada masa sama orang ramai mula mengerumuni hotel berkenaan untuk melihat Sher menyebabkan lelaki itu terpaksa ke balai polis berhampiran untuk meminta bantuan.

Sher kemudian dibawa ke Hotel Rajdhani dan dia juga terpaksa diiringi anggota polis selepas orang ramai berkumpul di depan hotel itu untuk melihatnya.

“Lebih 200 orang berkumpul untuk melihatnya. Dia sangat terganggu dengan semua ini,” kata pemilik hotel kepada agensi berita ANI.

Masalah Sher tidak berakhir di situ, dia juga terpaksa diiringi anggota polis setiap kali ke Stadium Ekana untuk menonton perlawanan kriket itu yang berlangsung selama empat hari.

Walaupun Sher hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangannya, namun, Afghanistan tewas dalam semua perlawanan itu.

SHER terpaksa diiringi anggota polis selepas dia diserbu orang ramai yang mahu melihatnya. FOTO Agensi
SHER terpaksa diiringi anggota polis selepas dia diserbu orang ramai yang mahu melihatnya. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:36 PM