NANA (kiri) dan Rayyan
NANA (kiri) dan Rayyan
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Rayyan jangan lupa baca al-Fatihah selalu dekat abah tau."

Demikian kata penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana kepada anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie dalam video terbaharu yang dimuat naik di saluran YouTubenya.

Dalam video itu, dia yang mesra disapa dengan panggilan Nana sedang menikmati juadah kegemaran anaknya sambil menonton drama lakonan bekas suaminya, Allahyarham Mohd Faizal Yusup.

"Sebenarnya Rayyan, Rayyan ikut perangai abah Rayyan. Dulu, opah yang ajar mama resipi ini. Abah Rayyan tak boleh masak (makanan) yang ada bawang.

"Nana kena 'blender' (kisar)' dia cakap. Jadi, mama pun 'blender' lah. Ini juga adalah sambal kegemaran abah Rayyan, turun ke anaknya ya.

"Jadi, sebab itulah Rayyan tak suka bawang sebab Rayyan mewarisi daripada Abah," katanya.

Tambah Nana, Rayyan juga mewarisi ekspresi ketawa Faizal.

"Eh ada lagi. Kalau ada abah gelak, sebiji macam Rayyan. Kalau Rayyan gelak, sebiji macam dia, mata tak nampak.

"Kalau Rayyan kurus, macam itulah Rayyan. Rayyan kan nak diet," katanya.

Dalam video berdurasi lebih 7 minit itu juga, Nana turut berkongsi kepada Rayyan mengenai kehebatan Faizal sebagai pelakon.

"Rayyan jangan lupa baca Al-Fatihah selalu dekat abah tahu. Dia sayang gila kat Rayyan, tahu? Abah Rayyan dulu popular. Lakonan dia tiptop, 'power'," katanya.

Faizal meninggal dunia pada 1 Januari 2011 di usia 33 tahun selepas diserang masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 4:51 PM