TANGKAP layar video seorang warga emas tidak dapat mengawal emosi ketika memberikan penghormatan terakhir terhadap anaknya yang terkorban dalam serangan Zionis. FOTO Abdallah Alattar
TANGKAP layar video seorang warga emas tidak dapat mengawal emosi ketika memberikan penghormatan terakhir terhadap anaknya yang terkorban dalam serangan Zionis. FOTO Abdallah Alattar
Mahaizura Abd Malik


Gaza: Betapa hancurnya hati bapa ini saat melihat anak lelakinya menjadi mangsa korban kekejaman tentera Zionis pada usia masih muda.

Dalam satu rakaman video tular yang meruntun hati, warga emas ini dilihat gagal mengawal emosi apabila menepuk dahi sambil menggeleng-geleng kepalanya kerana terlampau sedih.

Dengan tasbih di tangan kirinya, lelaki ini berkali-kali mengurut dadanya seolah-olah menahan 'kesakitan' tidak terperi saat menghadapi perpisahan dengan darah dagingnya itu.

Kelihatan beberapa individu di belakangnya cuba mententeramkan lelaki itu.

Dalam linangan air mata warga emas itu sempat mengucapkan syukur sambil menitipkan doa supaya anaknya Muhammad diampunkan Allah dan dimasukkan dalam syurga.

"Terima kasih Allah, Tuhan sekalian alam. Muhammad, semoga Allah permudahkan urusanmu wahai anakku.

"Semoga Allah mengampunimu anakku hingga ke syurga, insya-Allah," katanya dalam video dimuat naik di Instagram Abdallah Alattar.

Dengan tangannya diangkat dalam gaya berdoa, dia mengakui tubuh tuanya reda dengan ketentuan Allah, namun dia akui hanya manusia biasa yang tidak mampu melawan takdir.

"Ya Allah, kami tidak mempersoalkan keputusan-Mu.

"Kami masih bertahan, tetapi kami cuma manusia biasa dan lemah.

"Ya Allah sembuhkanlah kami yang terluka dan kuatkanlah Gaza. Cukuplah ya Allah," katanya sambil menangis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:24 PM