Kebakaran rumah anak Amir UK's (kiri); Amir UK's bersama anak, menantu dan cucunya (kanan).
Kebakaran rumah anak Amir UK's (kiri); Amir UK's bersama anak, menantu dan cucunya (kanan).
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi, Amir UK's memohon sumbangan pelbagai pihak untuk membantu anaknya, Mohd Aliff Naim yang mengalami musibah kebakaran rumah, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, kediaman dua tingkat di Taman Mewah, Kajang itu musnah terbakar di bahagian tingkat atas dan tiada satu barang sempat diselamatkan.

"Saya terkejut apabila dapat berita dari kumpulan WhatsApp keluarga. Pada malam kejadian, saya bergegas ke sana kerana nak tengok cucu yang masih kecil lagi.

"Agak menyedihkan kerana tiada barang dapat diselamatkan. Api marak dari tingkat atas. Ahli keluarga pun dah beri bantuan sikit-sikit.

"Selebihnya kami harapkan badan-badan seperti Pusat Zakat untuk bantu ringankan beban Aliff. Saya kasihan dengan nasibnya," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Amir bersyukur kerana keluarga anakna selamat kerana kejadian berlaku

sebelum mereka tidur.

"Kalau mereka tidur tak tahulah nak cakap apa kerana api sangat marak. Anak sulung saya ini bekerja sendiri iaitu berniaga.

"Saya amat mengharapkan kalau ada yang dapat bantu untuk dia bangunkan semula keluarganya. Dengan bantuan juga, dia akan dapat bina semula rumah. Ibu bapa mentua yang dah tua juga tinggal dengan mereka," katanya.

Sementara itu, menantunya, Nur Farhana Nor Afandi berkata, walaupun api tidak sempat merebak ke tingkat bawah tetapi kesannya menyebabkan banyak peralatan rumah tidak dapat digunakan lagi.

"Kerugian ditafsirkan sebanyak RM200,000. Kami mula sedar apabila dua orang anak saya melihat bilik tingkat atas yang dijadikan stor terbakar. Bayangkan api merebak dengan pantas ke bilik-bilik lain.

"Saya, suami dan bayi yang ketika itu di tingkat bawah sedang menonton televisyen terus bergegas membawa anak-anak keluar. Tiada apa pun barang yang dapat kami selamatkan melainkan telefon.

"Sebaik saja kami keluar rumah, api merebak ke bilik sebelah dan meletup disebabkan gas penghawa dingin di bilik itu. Situasi ini menyebabkan semua bilik bahagian atas hangus," katanya.

Menurutnya, mereka terpaksa menumpang di rumah bapa saudara selain berikhtiar untuk membaik pulih rumah ini namun kos yang besar agak merumitkan keadaan.

Dalam masa yang sama, mereka sedang mencari rumah sewa berhampiran kediaman mereka yang terbakar bagi memudahkan urusan membersihkan rumah dan proses baik pulih kelak.

Bagi ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB, 7016032125 (Nur Farhana Nor Afandi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:34 PM