GAMBAR fail pada 19 Mei menunjukkan kepulan asap kelihatan selepas tentera Israel melancarkan serangan di Rafah. FOTO AFP
GAMBAR fail pada 19 Mei menunjukkan kepulan asap kelihatan selepas tentera Israel melancarkan serangan di Rafah. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Warga emas Gaza, Palestin ini dilihat tersenyum manakala anak perempuannya ditemukan dalam keadaan bersujud.

Begitu pengakhiran mulia dua beranak yang ditembak tentera Zionis ketika mereka pulang memeriksa kediaman di Semenanjung Gaza, baru-baru ini.

Berdasarkan video tular yang dikongsikan Nooh Al-Shaghnobi, dia menemui jasad tidak bernyawa dua beranak itu di Jalan 8, Tal Al-Hawa, Bandar Gaza ketika memeriksa kediamannya di kejiranan berkenaan.

"Warga emas wanita ini dan anak perempuannya dipercayai datang ke sini untuk memeriksa rumah mereka tetapi tentera penceroboh sengaja menembak mereka.

"Kita nampak anggota badan yang terputus juga sebenarnya dimakan anjing," katanya.

Nooh sempat memberi amaran kepada penduduk di bahagian utara supaya tidak datang ke kawasan berkenaan berikutan bahaya menanti mereka.

"Ada pasukan khas penceroboh di sekitar kolej komuniti, mereka tidak peduli kanak-kanak, wanita atau sesiapa saja.

"Jika saya tidak datang melihat rumah saya, tiada siapa akan jumpa wanita dan anak perempuannya yang menjadi sasaran di sini," katanya.

Konflik berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-231 menunjukkan tiada tanda berhenti apabila rejim Zionis terus rakus 'membantai' wilayah itu di segenap kawasan termasuk Rafah yang menjadi kubu terakhir perlindungan penduduk.

Rejim itu semakin berani dan tidak peduli dengan tekanan dunia termasuk permohonan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin tertinggi Zionis dan Hamas atas konflik berkenaan.

Malah, keputusan berani tiga negara Eropah iaitu Norway, Ireland dan Sepanyol yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat mulai 28 Mei ini juga tidak mampu menghentikan rejim itu daripada meneruskan serangan pencerobohan mereka ke atas Gaza.

Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan di Gaza merekodkan lebih 35,800 angka kematian dengan 80,000 lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:38 PM