TANGKAP layar daripada video yang tular di media sosial China.
TANGKAP layar daripada video yang tular di media sosial China.
Agensi

Beijing: Menyedihkan apabila tular video seorang bapa di China melutut memohon maaf kepada anak perempuannya yang masih remaja kerana tidak mampu membelikannya telefon bimbit iPhone.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, video itu dirakam oleh seorang pejalan kaki di Taiyuan, di wilayah Shanxi di tengah China, pada 4 Mei lalu, ketika dia terserempak dengan seorang bapa dan anak perempuannya di jalan, lapor Jinyun Video.

Pejalan kaki bernama Zhong berkata, perbualan kedua-duanya sangat kuat sehingga dia dapat mendengar dengan jelas apa yang mereka katakan.

"Ibu bapa lain boleh membelikan anak mereka iPhone. Kenapa kamu tak ada duit?," jerit gadis itu kepada bapanya.

Selepas diherdik, si bapa berlutut dan menggelengkan kepalanya sebagai tanda menyalahkan dirinya kerana tidak cukup wang untuk menunaikan permintaan anaknya.

"Bangun! Cepat bangun!" jerit anak perempuan itu, yang nampaknya menganggap tingkah laku bapanya memalukan.

Zhong berkata, dia berdiri berdekatan dan menjadi saksi selama kira-kira lima minit, dan bersedih untuk bapa sambil meluahkan kemarahannya terhadap gadis berkenaan.

"Saya sampai terasa untuk mendekatinya dan menamparnya," katanya.

Klip video yang tular di media sosial di China itu meraih 91 juta tontonan di Weibo dan enam juta di Douyin, sebelum heboh diperkatakan di dalam negara.

Rata-rata netizen mengecam gadis itu dan mengkritik ketidakupayaan bapa untuk mendidik anak perempuannya dengan betul.

"Kepenggunaan membawa kesan negatif kepada belia.

"Mereka terlalu mementingkan keselesaan material tetapi tidak mengendahkan kesusahan ibu bapa mereka. Ia adalah 'tragedi' sosial!" tulis seorang pengguna di Weibo.

"Saya berasa sedih untuk kedua-duanya. Anak perempuan itu tak berguna tetapi bapanya pun tak patut melutus," tulis netizen yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:48 PM