MICHAEL Tong Wai Siong bersama anak angkatnya, Rasyid (dari kiri), Rafei, Abdul Rahman dan cucu angkat, Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
MICHAEL Tong Wai Siong bersama anak angkatnya, Rasyid (dari kiri), Rafei, Abdul Rahman dan cucu angkat, Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya buat ini kerana Tuhan dan ikhlas bukan kerana mahu meraih pujian orang. Sampai bila-bila pun tiga R ini (Rafei, Rasyid dan Rahman) anak saya dan semoga kisah ini menunjukkan untuk membantu tidak melihat kepada kaum."

Itu kata Michael Tong Wai Siong, 55, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang menjaga tiga beradik lelaki yatim piatu, Rafei Ahmad Fauzi, 29, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, sejak 16 tahun lalu seperti anak sendiri dengan turut menyediakan pendidikan sempurna termasuk agama.

Michael berkata, dia menghargai pujian orang ramai selepas kisah mereka disiarkan Harian Metro, namun mengakui agak segan kerana apa dilakukan itu ikhlas demi kasih sayang kepada tiga anak yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Saya tak mengharapkan balasan termasuk kepada tiga anak cuma berharap mereka dapat hidup baik-baik. Apa yang saya buat ini bukan untuk meraih pujian tetapi kerana Tuhan dan tak mahu memisahkan mereka tiga beradik.

"Sekarang saya gembira melihat tiga anak sudah besar, ada pekerjaan dan seorang sudah berkeluarga, malah saya juga sudah ada tambahan dua R iaitu Rayyan dan Rania, cucu yang menjadi sebahagian jiwa saya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia berharap kisah mereka menunjukkan yang membantu sesama insan tidak perlu melihat daripada bangsa dan agama sebaliknya jika ada kemampuan ia boleh dilakukan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada orang lain.

"Saya bukan orang pertama membantu seperti ini dan orang Melayu juga ada membantu orang Cina dan India serta kaum lain dan sebaliknya juga. Ini bukti kita hidup dalam harmoni walaupun masih ada segelintir memainkan isu perkauman.

"Saya sedih melihat isu perkauman dan sebagai rakyat negara yang berbilang kaum kita perlu hidup harmoni dan aman bersama kerana kita semua keluarga," katanya memberitahu rakan Melayu juga memberi tunjuk ajar ketika dia memulakan perniagaan.

Laporan muka depan Harian Metro hari ini menyiarkan kisah Michael yang menjaga Rafei, Rasyid dan Abdul Rahman sejak 16 tahun lalu yang dihantar ke rumah anak yatim selepas ibu bapa kandung mereka meninggal dunia.

Lelaki Tionghua berkenaan menyayangi tiga pemuda itu seperti anak sendiri biarpun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini, malah keluarganya turut menerima anak angkat dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:48 PM