Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar iaitu Ng Mg Win dan Ng Win Khin diperintah menjalani hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dakwaan menjalankan perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di Hulu Perak, Disember lalu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar iaitu Ng Mg Win dan Ng Win Khin diperintah menjalani hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dakwaan menjalankan perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di Hulu Perak, Disember lalu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dakwaan menjalankan perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di Hulu Perak, Disember lalu.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu ke atas Ng Mg Win dan Ng Win Khin bermula dari tarikh tangkap pada 8 Disember lalu selepas tertuduh mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh berkenaan bersama sembilan tertuduh lain yang juga warganegara Malaysia menjalankan aktiviti melombong mineral tanpa permit penggunaan di Kompartmen 64 & 58 Hutan Simpan Bintang Hijau (koordinat X337593 Y583977) dalam daerah Hulu Perak kira-kira jam 3.30 petang 8 Disember 2023.

Oleh demikian mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32 (2) Enakmen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk), Phulrani Kaur Gurcharon Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mg Win dan Win Khin masing-masing turut dijatuhi hukuman penjara setahun, selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki hutan simpanan kekal (HSK) tanpa permit sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Hukuman itu yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, juga berjalan dari tarikh tangkapan mereka iaitu pada 8 Disember 2023.

Hukuman penjara setahun bagi kesalahan serupa turut dijatuhkan terhadap PATI lain wargenagara juga Myanmar iaitu Kyaw Kyaw Sab @ Kyaw Kyaw San yang didapati memasuki kawasan HSK terbabit tanpa permit sah iaitu di lokasi sama, kira-kira jam 9 pagi 9 Disember 2023.

Disember lalu, seramai 31 individu termasuk 21 PATI ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti perlombongan NR-REE secara haram di kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau di Gerik, Hulu Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:24 PM