Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengesahkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik sekali gus bersedia untuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya bertemu Taiwan, bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi PSM Iliyas Jamil memaklumkan bahawa padang SNBJ masih menggunakan rumput Zeon Zoysia memandangkan proses untuk menukar kepada jenis hybrid memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan menjaga dengan rapi padang SNBJ bagi memastikan perlawanan membabitkan Harimau Malaya berjalan tanpa sebarang masalah.

"Stadium SNBJ sekarang ini masih menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia. Seperti yang diumumkan sebelum akan pindahkan rumput hybrid dari stadium Larkin, proses itu masih dalam perbincangan buat masa ini.

"Rumput di SNBJ berada dalam keadaan baik dan kita boleh nampak pada perlawanan membabitkan perlawanan Battle Of The Reds sebelum ini iaitu padang tiada masalah," katanya, ketika ditemui Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad kendalian Kim Pan-gon akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi bertemu Taiwan di SNBJ lima hari kemudian.

Berdasarkan kepada pemerhatian pada perlawanan Battle Of The Reds membabitkan legenda Liverpool menentang legenda Manchester United mendapati padang SNBJ tidak berhadapan masalah dan tiada lagi rumput tercabut.

Sementara itu, Iliyas berkata, sebarang penganjuran konsert di venue berkenaan hanya terhad di kawasan trek padang saja bagi memastikan rumput tidak rosak.

"Pada masa ini, konsert hanyalah dihadkan di kawasan trek padang dan dan hanya dibenarkan untuk tempoh 24 jam saja.

"Hanya dibenarkan untuk penonton duduk atau berdiri di atas padang namun binaan yang berat tidak dibenarkan sepanjang penganjuran konsert itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:47 PM