NORZITA Hanum ketika ditemubual selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham Norzana Hanim di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, hari ini. FOTO Sadiq Sani
NORZITA Hanum ketika ditemubual selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham Norzana Hanim di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, hari ini. FOTO Sadiq Sani
Sudirman Mohd Tahir


Cheras: "Kali terakhir kami berkumpul, kakak cakap nak peluk mak lama-lama sebab nanti dah tak boleh jumpa dan peluk," kata Norzarita Hanum, 46, adik kepada pramugari Malaysia Airlines (MAS), Norzana Hanim Hamzah, 49, yang meninggal dunia di Narita, Chiba, Jepun.

Menurutnya, ketika perjumpaan terakhir mereka sekeluarga pada 16 Mei lalu, kakaknya itu juga bersungguh-sungguh mahu merakamkan gambar terakhir mereka bersama.

"Pada Khamis minggu lalu sepatutnya arwah bawa mak pergi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tapi tak jadi disebabkan mak tak sihat. Jadi, dia ambil keputusan untuk luangkan masa bersama kami di rumah.

"Ketika itu dia pesan jaga mak baik-baik jika dia sudah tiada. Dia juga cakap, kena ambil gambar sebagai kenangan terakhir sambil berseloroh jika itu gambar terakhir bersamanya. Tidak menjangka pula itu memang gambar terakhir kami.

"Sebelum pulang, dia sempat bagi duit kepada mak. Diakui, dia memang seorang yang sangat ambil berat dan pemurah. Selepas ini tak ada lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, arwah kakaknya tidak mempunyai sebarang penyakit.

Malah, menurutnya mesej terakhir yang dihantar kepada rakan sekerjanya memaklumkan dia berasa penat.

"Dia tidak ada sebarang penyakit. Selepas buat ujian imbasan di sana pun, dia tak ada sebarang masalah cuma mesej terakhirnya dia beritahu letih. Mungkin sebab jadual padat. Mungkin mesej itu juga mewakili kru lain ketika itu," katanya.

Berkongsi mengenai keperibadian kakaknya, menurutnya arwah seorang yang sangat pemurah.

"Dia sangat baik, pemurah dan tak kedekut. Dia jenis yang akan dahulukan keluarga walau apa keadaan sekali pun.

"Dalam masa sama, dia seorang periang, positif, tidak suka bercerita hal buruk orang lain dan simpan masalah sendiri," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Norzana Hanim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat, jam 11 pagi hari ini.

Jenazah selamat tiba di tanah air semalam sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Batu 9, dan disembahyangkan di lokasi sama pagi, hari ini.

Sebelum ini, MAS mengesahkan seorang pramugarinya meninggal dunia ketika sedang transit di Tokyo, Jepun pada 20 Mei lalu.

Syarikat penerbangan itu berkata, Norzana sedang bertugas di Tokyo Narita dan dijadualkan mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:29 PM