AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang beregu  Indonesia di  Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang beregu Indonesia di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengalaman menentang 'darah muda' bakal disajikan kepada peminat badminton tanah air terutama di Axiata Arena esok apabila dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal bertembung sesama sendiri di separuh akhir Masters Malaysia.

Pada aksi suku akhir hari ini, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri, mengalahkan pilihan ketujuh dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 12-21, 21-17, 21-17.

Gandingan menghuni ranking ke-18 dunia ternyata gembira dengan kemenangan berkenaan dan tidak menyerah kalah walaupun tumbang di set pembukaan.

"Perlawanan hari ini sangat menggembirakan selepas kami bangkit walaupun Soon Huat ada mengalami sedikit kecederaan di set kedua.

"Pemikiran dan rentak permainan kami di dalam gelanggang harus dikawal, barulah dapat mematahkan momentum lawan. Lagi pun Soon Huat memang menahan kesakitan, psikologi pun kena kuat takut kecederaan menjadi serius, apa pun dia mampu menamatkan permainan," kata Shevon.

Ditanya mengenai pertembungan dengan rakan senegara esok, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, mereka sudah beberapa kali berdepan Tang Jie-Ee Wei dan setiap perlawanan sangat sukar.

"Kali terakhir kami menang namun setiap perlawanan dikira sebagai hari baharu. Suasana gelanggang tidak sama, siapa sahaja boleh menang. Apa pun yang akan layak ke final nanti adalah wakil Malaysia. Persembahan yang baik buat beregu campuran.

"Esok saya berharap kami dapat buat yang terbaik dan siapa yang berjaya memberikan aksi terbaik akan dapat mara ke final. Dari segi pengalaman mungkin kami lebih sedikit tetapi mereka pasangan muda, masing-masing ada kelebihan tersendiri, mereka mempunyai kepantasan dan kekuatan," kata Shevon.

Tang Jie-Ee Wei ke separuh akhir selepas mengatasi pasangan senior, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan keputusan 21-19, 21-14, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 3-0.

Kali terakhir Malaysia menjuarai saingan beregu campuran ialah pada edisi 2017, ketika kejohanan menggunakan nama Grand Prix (GP) Emas yang menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 3:48 PM