VANILLA Ice
VANILLA Ice
Susunan Michelle Gun

Selepas menempuh waktu penerbangan lama dari Afrika Selatan, penyanyi rap 90-an, Vanilla Ice tidak sabar pulang ke rumahnya di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kepenatan pemilik nama sebenar Rob Van Winkle itu tidak berakhir di situ apabila dia dikuarantin dalam penerbangan selama beberapa jam.

Difahamkan pesawat dinaiki 520 penumpang termasuk Vanilla Ice baru tiba dari Dubai ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy, New York pagi Rabu lalu.

Menurut penyanyi lagu hit Ice Ice Baby itu, sebaik tiba di lapangan terbang penumpang tidak dibenarkan keluar dari pesawat berikutan ada di antara mereka demam.

Vanilla Ice, 50, turut berkongsi rakaman video memaparkan beberapa ambulans dan jentera bomba di luar kapal terbang itu di Twitter.

Menurut penyanyi itu, dia bernasib baik kerana tempat duduknya di tingkat atas pesawat Airbus A380 dan penumpang yang sakit berada di bahagian bawah.

Difahamkan dia serta penumpang lain dibenarkan pulang selepas beberapa jam.

Pengurus Vanilla Ice turut mengesahkan penyanyi berkenaan berada dalam pesawat terbabit.

Sementara itu, pengikut Vanilla Ice di Twitter menggunakan beberapa ayat daripada lagu hit Ice Ice Baby sebagai jenaka situasi dilaluinya.

Seorang pengikut meminta Vanilla keluar dari pesawat untuk cuba menenangkan keadaan dengan bercakap 'Yo, you got a problem? I'll solve it. Check out the mix while the DJ revolves it.'

Status itu kemudian dibalas pengikut lain dengan mencadangkan Vanilla Ice sepatutnya mendatangi anggota medik sambil bercakap 'Alright, stop! Collaborate and listen!'

Semua itu sebahagian daripada lirik lagu Ice Ice Baby.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:24 PM