Susunan Georgie Joseph

Satu lagi permata berharga dunia muzik, Ben E King, akhirnya pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita semua pada usia 76 tahun. Dia yang cukup popular dengan lagu Stand By Me, penyanyi R&B dan soul itu meninggal dunia pada 30 April lalu.

Ben antara insan seni yang cukup disegani pada era 1960-an. Memulakan kariernya pada penghujung 1950, mendiang mulanya mengang­gotai kumpulan The Drifters. Kumpulan itu cukup popular dengan lagu hit mereka termasuk There Goes My Baby dan Save The Last Day For Me.

Bagaimanapun, pada 1961, Ben mengambil keputusan bergerak solo dan percaturannya itu menjadi. Berbekalkan lagu Stand By Me, namanya terus menaiki carta muzik hebat ketika itu.

Jelas pemergiannya itu memberi kesan bukan saja kepada rakan seperjuangannya dulu bahkan generasi yang membesar dengan mendengar lagunya. Antaranya pemuzik Gary US Bonds yang sempat menulis mengenai kehebatan penyanyi itu.

“Ben antara penyanyi yang sangat ‘manis’, lemah-lembut dan mempunyai bakat yang luar biasa pernah saya kenali. Selama 50 tahun, saya bangga dapat berkawan dengannya.

“Saya pasti dia sentiasa dirindui sampai bila-bila pun. Salam takziah tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli keluarganya,” tulisnya di Facebook.

Menurut aktor yang pernah membintangi filem Stand By Me, Jack O’Connell pula, dia sentiasa mengingati Ben sebagai seorang lelaki terhormat.

“Kamu tahu kamu sangat bagus apabila John Lennon menyanyikan semula lagu kamu. Ben E King adalah seorang insan yang sangat luar biasa dan bakatnya tidak ada galang ganti,” katanya di Twitter.

Sewaktu hayatnya bersama kumpulan The Drifters, dia bukan saja menyanyi bahkan turut bertanggungjawab menulis semula lagu hit kumpulan itu berjudul There Goes My Baby. Hasilnya, lagu itu menduduki tempat kedua carta hebat di Amerika Syarikat (AS) pada 1959.

Lagu hit pertama sejak bergerak solo pada 1961 adalah Spanish Harlem sebelum Stand By Me. Hakikatnya, lagu Stand By Me mulanya dicipta untuk dirakam kumpulan The Drifters, namun lagu itu ­ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:34 PM