BERSAMA Tony (tiga dari kiri) selepas dimumkan Duta Global AirAsia.
BERSAMA Tony (tiga dari kiri) selepas dimumkan Duta Global AirAsia.
Oleh Michelle Gun


Minat penerbit album dan komposer hebat, David Foster bukan saja dalam bidang muzik, tetapi pemenang 16 kali Grammy Awards itu turut mempunyai minat mendalam terhadap kereta dan kapal terbang.

“Saya peminat tegar kapal terbang dan mengetahui setiap model serta nama pesawat sama ada komersial atau peribadi,” katanya.

Pengerusi Verve Music Group itu berkongsi minatnya kepada media ketika diumumkan sebagai Duta Global baru syarikat penerbangan AirAsia, kelmarin.

“Ini kolaborasi hebat dengan AirAsia dan menyukai jenis muzik yang dimainkan dalam pesawat milik syarikat penerbangan itu,” katanya.

Foster berkata, dia juga sudah lama mengenali Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Foster berkata, dia seronok berada di Malaysia dan sudah melawat hampir semua negara di Asia.

“Saya belum pernah ke Vietnam dan Kemboja. Negara di Asia sangat indah dan akan ke Filipina selepas mengadakan persembahan di Genting Highlands nanti,” katanya.

Apabila membabitkan bidang seni muzik, komposer berasal dari Kanada itu bukan senang untuk memuaskan hatinya.

Ketika ditanya mengenai bakat baru di Asia, Foster berkata, terdapat ramai peserta berpotensi di program realiti Asia’s Got Talent, namun tiada yang berjaya menarik perhatiannya.

“Saya seronok menyaksikan persembahan setiap peserta, bagaimanapun tiada seorang yang memiliki bakat hebat.

“Ada seorang peserta yang menunjukkan kebolehan memasukkan ular ke dalam hidungnya,” katanya.

Menyentuh mengenai industri muzik pula, Foster mendedahkan ada penyanyi Barat popular, namun sebenarnya tiada bakat menyanyi.

“Antaranya Britney Spears yang mempunyai paras cantik dan sangat popular, tetapi saya tidak tahu hendak buat apa dengannya,” katanya.

Menamakan beberapa penyanyi hebat seperti Sir Elton John dan Bruno Mars sebagai inspirasinya, Foster turut memuji kemantapan vokal Rihanna.

Beliau dikenali menerusi kolaborasi dengan penyanyi ‘superstar’ antaranya Barbara Streisand, Celine Dion, Whitney Houston, Michael Jackson, Madonna, Andrea Bocelli dan Michael Buble.

Sementara itu, Tony berkata, Foster mencipta nama besar dalam industri muzik dan yakin pelantikannya sebagai Duta Global baru syarikat penerbangan itu dapat menarik lebih ramai pelanggan.

“Saya mengenalinya ketika menjadi eksekutif Warner Music Malaysia. Dia mempunyai personaliti menarik selain seorang yang jujur dan bersemangat dalam kerjayanya.

“Ketika di Singapura, saya bertemu dengan David dan kami mula berbincang mengenai tawaran terbabit,” katanya.

Menurut Tony, AirAsia merancang untuk mengadakan acara khas bersama Foster untuk pelanggannya.

“Sudah tentu penumpang berpeluang mendengar karyanya di pesawat,” katanya.

Selain AirAsia, lagu duet Foster bersama Katharine McPhee, I Will Be There With You digunakan syarikat penerbangan Japan Airlines untuk mempromosi penerbangan pesawat baru ke Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 11:11 AM