MAYA Matahari.
MAYA Matahari.
Ramlah Zainal

Mula mengenakan tudung sejak awal Ramadan lalu, penyanyi Maya Matahari selesa dengan imej barunya itu.

Menurut pemilik nama sebenar Meyanaliza Ruslee, 42, ini, dia juga bersyukur kerana ramai memberikan komen positif termasuk pengikutnya di laman sosial.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu mengenakan tudung tetapi tidak kekal kerana hati belum tetap. Rata-rata komen daripada netizen juga sangat positif dan memberitahu saya nampak lebih cantik serta manis apabila bertudung.

“Namun, ada juga satu atau dua komen netizen yang memberitahu tidak bertudung nampak lagi cantik tetapi saya tetap menguatkan hati untuk kekal bertudung,” katanya.

Maya juga yakin bertudung bukan halangan untuk meneruskan kerjaya seni yang diceburi sejak dulu.

Malah, dia juga menafikan bertudung kerana bakal menamatkan zaman solonya tidak lama lagi.

“Terus terang, saya bertudung dengan kerelaan sendiri dan percaya sampai masanya untuk bertudung. Saya percaya apabila kita buat kebaikan, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.

“Apa yang penting, saya bijak membawa diri dan menjaga batas seperti dituntut Islam,” katanya.

Selepas empat tahun menanti, Maya bakal melancarkan bingkisan single terbarunya berjudul Perlu Ada Setia ciptaan Tam Spider dan liriknya oleh Iman Imran sekali gus mengubat kerinduan peminatnya.

Kali terakhir Maya bekerjasama dalam album ialah bersama Saidah yang juga adik penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Maya, proses perbincangan untuk menghasilkan single terbarunya yang berkonsep pop itu mengambil tempoh lima bulan.

“Hasil perbincangan dengan komposer, saya mahu mencabar diri menghasilkan lagu yang lebih hebat daripada Matahari. Apa yang menarik, lagu ini lebih ‘catchy’ dan konsep pop yang lebih moden,” katanya yang pernah muncul dengan album berjudul Matahari dan Diari Biru 2.

Mengenai bidang lakonan pula, kata Maya, dia juga terbabit dengan projek telefilem terbitan Zeel Production selepas dua tahun memperlahankan aktiviti lakonan.

“Saya juga terpaksa menolak tawaran berlakon dalam drama bersiri sebanyak 80 episod kerana mahu fokus untuk mempromosikan single baru ini.

“Maklumlah, peminat juga lebih nampak saya sebagai pelakon berbanding bidang nyanyian. Kini, sampai masanya, saya kembali aktif dalam bidang nyanyian yang sudah sebati dengan diri sejak dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 11:00 AM