NONNY tidak sefahaman lagi dengan bekas suaminya.
NONNY tidak sefahaman lagi dengan bekas suaminya.
Ramlah Zainal


TIDAK sampai setahun melayari alam rumah tangga, penyanyi dan pelakon Nonny Nadirah akur mahligai yang dibina terpaksa diakhiri dengan perceraian.

Bagi pemilik nama sebenar Nonny Nadirah Zainuddin, 29, ini, dia reda dengan ketentuan Allah SWT dalam hidupnya itu.

“Sebenarnya, selepas berkahwin saya memang mahu memperlahankan aktiviti seni untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga dan membina keluarga bahagia.

“Namun, kita hanya mampu merancang kerana ternyata jodoh saya dan suami ditakdirkan Allah tidak panjang. Tiada siapa yang mahukan perceraian tapi siapa yang mampu melawan qada dan qadar Allah?” katanya.

Ditanya mengenai punca perceraian, Nonny berkata, dia tidak dapat mengulas lebih terperinci kerana tidak mahu melukakan hati keluarga kedua-dua pihak.

“Cukuplah saya beritahu kami sudah tidak tinggal sebumbung sejak Oktober tahun lalu. Kami bercerai kerana tiada persefahaman lagi. Buat masa ini, saya tidak dapat berkongsi tarikh sebenar perceraian kami.

“Saya juga berkongsi berita perceraian ini kerana tidak mahu timbul fitnah selepas ini. Seperti majlis pernikahan, berita perceraian juga perlu dikongsi dengan semua orang. Apatah lagi, saya bergelar selebriti yang dikenali ramai,” katanya.

Mengenai peluang untuk rujuk kembali dengan bekas suami, Nonny berkata, dia percaya Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Jika ada jodoh pasti kembali. Jika tidak mungkin Allah sudah aturkan jalan yang terbaik untuk kehidupan masing-masing. Saya percaya pada janji Allah dan hanya berserah 100 peratus pada ketentuan-Nya,” katanya.

Pada masa sama, Nonny berharap supaya peminat terus memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

“Saya perlu bangkit dan meneruskan kehidupan selepas bercerai. Bagi saya, perceraian bukanlah pengakhiran dalam kehidupan kerana hidup perlu diteruskan. Doakan yang terbaik dan semoga dipermudahkan segala urusan saya. Sebagai hamba-Nya, saya perlu memperbaiki kelemahan diri dari segala aspek untuk menjadi Muslimah yang lebih baik,” katanya.

Nonny dan bekas suami, Mustain Adnan berkahwin pada 18 Mac tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah sebelum mengumumkan berita perceraiannya, baru-baru ini.

Penghijrahan kecil

Berkongsi mengenai perubahan dirinya yang sudah bertudung, kata Nonny, dia mengakui mendapat ketenangan jiwa yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Saya bermula dengan mengenakan selendang sehari selepas kembali daripada menunaikan umrah pada pertengahan Januari lalu dan selepas itu mula bertudung secara perlahan-lahan.

“Ia hijrah kecil saya untuk memperbaiki diri kerana Allah. Emaklah yang paling gembira dengan perubahan imej saya ini,” katanya.

Nonny juga bersyukur kerana ramai sahabat dan rakan artis seperti Mila Jirin dan Heliza Helmi yang memberikan sokongan untuk terus bertudung.

“Bayangkan saya terdetik hati untuk bertudung tanpa ada persediaan koleksi tudung dan baju yang sesuai untuk penampilan imej baru ini. Namun, Allah permudahkan kerana ramai pula rakan yang menghadiahkan tudung dan jubah sesuai dengan perubahan diri,” katanya.

Sebagai selebriti yang baru bertudung, nama Nonny turut terpalit dengan isu segelintir artis yang membuka tudung baru-baru ini.

“Saya hanya baca komen yang positif kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadi Muslimah lebih baik. Saya harap peminat beri sokongan dan semoga netizen juga menegur dengan cara yang baik di laman sosial,” katanya.

Tidak letak syarat dalam lakonan

Walaupun sudah bertudung, pelakon drama Istikharah Cinta ini masih meneruskan karier seni yang diceburi sejak dulu.

Namun, kata penyanyi yang digilap daripada program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia tidak meletakkan sebarang syarat kepada penerbit dan pengarah dalam bidang lakonan.

“Kalau boleh, saya mahukan watak yang lebih sesuai dengan perubahan imej baru ini. Saya percaya ada watak antagonis yang boleh dilakonkan walaupun selepas bertudung. Watak jahat juga memiliki mesej yang mahu disampaikan pada masyarakat. Terkini, saya akan kembali ke lokasi penggambaran projek drama baru tidak lama lagi.

“Saya belum boleh berkongsi lebih terperinci mengenai watak dan sebagainya lagi. Apa yang penting, watak yang ditawarkan produksi sesuai dengan imej baru saya sekarang,” katanya.

Nonny akui tidak menyesal kerana terpaksa menolak tawaran projek komersial yang memintanya membuka tudung, baru-baru ini.

“Saya anggap ia ujian selepas kita berhijrah ke jalan yang diredai Allah kerana percaya ada rezeki lain yang lebih baik menanti selepas ini,” katanya.

Kali terakhir Nonny berlakon ialah menerusi drama Cekelat Cekelat Honey dan rakaman program Perang Ketuhar.

Drama lakonannya Melankolia pula bergandingan dengan pelakon Aliff Aziz sudah bersiaran di TV3, tidak lama dulu. Selain drama, Nonny turut berlakon dalam filem XX Ray 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 6:30 AM