MAYA Karin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MAYA Karin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

Barangkali ada segelintir pihak meragui kemampuan vokalnya dalam bidang nyanyian.

Namun, ia bukan penghalang buat penyanyi dan pelakon popular Maya Karin untuk muncul dengan lagu duet dan single solo terbaru khusus buat peminatnya.

Maya Karin, 37, berkata dia juga merancang untuk menghasilkan album penuh bersama syarikat rakaman Warner Music tidak lama lagi.

“Sebelum ini, saya lebih fokus untuk menyiapkan dua projek filem terbaru iaitu Munafik 2 dan Olympic Dream.

“Bagaimanapun, saya difahamkan produser akan mempromosikan dua filem itu selepas Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Sementara menanti dua projek filem itu menjengah pawagam, saya kembali menyiapkan rakaman projek lagu duet dan single solo,” katanya.

Bercerita mengenai projek lagu duet dan single solo baru itu, kata Maya, kali ini dia bakal bekerjasama dengan komposer hebat tanah air iaitu Aizat Amdan dan Awi Rafael.

“Saya menimba pengalaman berharga bekerja dengan Aizat dan Awi.

“Setakat ini, saya sudah menyiapkan lagu duet dengan penyanyi Kaka Azraff dan lagu duet bersama Awi berjudul My One True Love.

“Manakala, single solo ciptaan Aizat belum ada judul lagi. Saya berharap semoga lagu duet dan single solo ini diterima baik peminat apabila dipasarkan selepas raya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Maya pernah muncul dengan album Erti Cinta pada 2001, Bukan Qalamaya (2004) dan Teka-Teki (2014).

Selain Bintang Syurga, album Teka Teki turut memuatkan enam lagi lagu seperti Logika, Tersenyum, Teka-Teki, Titi Rahsia, Selamat Tinggal Cinta dan Hanya Sebentar.

Filem Mandarin

Selain filem genre seram Munafik 2, Maya mengakui gementar menanti maklum balas peminat terhadap filem terbaru lakonannya berjudul Olympic Dream.

Filem arahan Don Hoe itu turut dibintangi Annabelle Tan, Jordan Voon dan ramai lagi.

Dalam filem Olympic Dream, Maya melakonkan watak wanita Melayu.

“Saya satu-satunya pelakon yang bertutur dalam bahasa Melayu untuk filem ini.

“Filem terbitan Full Billion Entertainment ini menampilkan 60 peratus dialog bahasa Mandarin,” katanya.

Maya tertarik membintangi filem itu kerana ia mengetengahkan semangat kesukanan sepertimana Ola Bola.

“Filem ini menampilkan impian kanak-kanak yang mahu beraksi di Sukan Olimpik menerusi acara badminton.

“Ia juga memberi saya pengalaman berbeza kerana buat kali pertama bekerja dengan produksi Cina tempatan yang mempunyai misi tersendiri dalam karya mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:34 AM