PENYANYI, Mya Ruslee. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Mya Ruslee. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


LEBIH dua dekad menceburi bidang seni, Mya Ruslee, 42, mahu memanfaatkan platform program realiti popular yang disertainya kini untuk memperkenalkan jenama barunya bagi menggantikan nama Maya Matahari.

Mya berkata, dia kini mahu dikenali sebagai Mya Ruslee bersesuaian dengan nafas baru karier seninya menerusi program realiti berkenaan.

“Saya tidak kisah andai ada pihak masih mahu memanggil saya Maya Matahari kerana jenama itu sudah kuat.

“Namun bersesuaian dengan penampilan terkini di dalam program ini di samping imej baru yang sudah bertudung sejak Ramadan lalu, saya rasa tepat masanya untuk melakukan pembaharuan secara menyeluruh.

“Jadi, mulai saat ini panggil saya Mya Ruslee bukan lagi Maya Matahari,” katanya.

Menurut Mya, dia juga tidak kisah mengenai ejaan nama Mya atau Maya untuk namanya.

“Saya tak kisah nak eja Maya atau Mya. Ikutkan yang tepat Mya kerana itu ejaan nama sebenar saya.

“Cuma, di pentas program realiti ini pihak produksi memperkenalkan saya sebagai Maya,” katanya.

Siapa sangka berkat kesabaran yang tinggi dan tidak menyerah kalah, pemilik nama sebenar Myanaliza Ruslee ini akhirnya berjaya menyertai pertandingan itu.

Dua tahun lalu, Mya pernah menjadi tumpuan apabila meluahkan rasa terkilan tidak terpilih dalam program realiti popular itu.

Sejak penganjuran pertama program itu pada 2014, nama Maya sering disebut-sebut bakal menjadi seorang peserta namun sehingga empat musim berlangsung, ia sekadar khabar angin yang tidak berpenghujung.

Namun, 2018 ternyata membawa sinar baru buat Maya apabila akhirnya namanya terselit sebagai peserta, sekali gus menamatkan penantiannya selama empat tahun.

Mya menyifatkan pembabitannya dalam program itu sebagai rezeki kurniaan Allah apabila memutuskan bertudung sejak Ramadan lalu.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana usaha selama empat tahun untuk menyertai program ini akhirnya termakbul pada musim kelima. Pada konsert malam lalu, saya seperti tidak percaya akan berdiri sebagai peserta dan bukan sekadar penonton,” katanya.

Ditanya pernahkah terdetik rasa terkilan apabila ada yang sering menyindir kesabarannya sepanjang menanti tiket bergelar peserta program itu selama ini, Mya berkata, dia tidak sedih atau berkecil hati.

“Saya okey saja malah perkara itu menjadikan saya lebih kuat untuk memajukan diri. Saya mahu buktikan kepada khalayak kemampuan dan kelayakan saya bertanding dalam program ini,” katanya.

Bagi memastikan perjalanannya dalam program realiti itu terus rancak, Mya kini mengikuti kelas vokal sebagai persiapan rapi menjelang konsert setiap minggu.

“Saya tidak mempunyai sebarang strategi khusus. Cuma, saya tidak sabar untuk mencuba lagu genre lain selain pop.

“ Saya juga kini mengikuti kelas vokal dan mahu berikan persembahan terbaik pada setiap minggu, itu saja,” katanya.-Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:00 AM