Lana bersama David
Lana bersama David
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Menjengah usia 46 tahun, pelakon Lana Nodin mengambil pendekatan menutup aurat demi menjadi muslimah sejati.

Menurut Lana, dia kurang selesa menghebahkan soal penghijrahan sebaliknya berdoa agar istiqamah untuk berubah ke arah yang lebih baik.

"Bukan tidak mahu berkongsi, cuma saya masih berada dalam fasa percubaan sejak Ramadan lalu. Bukan tidak mahu menghebahkan, cuma belum istiqamah sepenuhnya lagi.

"Kalau orang nampak tu nampak la. Apatah lagi, suami pun turut menyokong segala keputusan dan tindakan yang dibuat oleh saya. Kini saya berada dalam fasa percubaan, doa yang baik-baik buat saya.

"Hujung tahun ini saya bakal bertambah usia kepada 46 tahun, pejam celik lagi beberapa tahun dah masuk 50 tahun. Selain muhasabah diri, saya bersama keluarga berubah ke arah lebih baik atas nasihat rakan-rakan.

"Saya hendak membimbing diri suami yang mualaf, namun tidak bertudung jadi seperti tidak selari. Jadi ini salah satu fasa untuk berubah ke arah lebih baik, bukan saja saya dan suami tetapi buat anak-anak juga," kata Lana.

Terdahulu, perkongsian Lana memuat imej terbarunya pada hari raya bersama keluarga mengundang komen positif daripada warga maya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Lana memuat naik satu rakaman video yang memaparkan dia meraikan Aidilfitri bersama keluarga dengan imej bertudung.

Bagaimanapun, Lana dilihat menghadkan ruangan komen dan tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai penampilan terbaharunya itu.

"Apa pun, saya masih lagi menerima tawaran berlakon. Jadi watak antagonis biarpun bertudung pun menarik juga. Saya masih terbuka untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon," katanya.

Lana dan David atau nama Islamnya, Mohd Daud McKienzi mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:48 AM