NORMAN. FOTO Genes Gulitah
NORMAN. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengarah Urusan KRU Studios yang juga bekas trio KRU, Datuk Norman Abdul Halim memaklumkan kumpulan yang dianggotai bersama dua adiknya Yusry dan Edry tidak akan kembali mewarnai industri seni tanah air.

Norman, 51, berkata, jika persembahan kameo secara solo setiap mereka, mungkin boleh difikirkan contohnya Edry terbabit dalam kumpulan Mojo dan sebagainya.

"Untuk buat 'comeback' bertiga dah agak sukar kerana komitmen masing-masing. Rasanya susah. Buat masa ini tiada perancangan lagi. Saya tahu banyak permintaan untuk kami tampil semula.

"Lagu-lagu KRU pun trending. Mana -mana pun trending. Saya tahu, saya nampak dan hargai mereka yang masih sokong KRU walaupun sedar tak sedar KRU dah dibubarkan lima tahun lalu.

"Tapi orang masih nak dengar lagu-lagu dan saya rasa itu satu penghargaan besar yang diberikan oleh penyokong," katanya ditemui pada sesi tayangan ekslusif filem terbaharu terbitan KRU Studios berjudul Geng Sakau VS Hantu Ting Tong di Dadi Cinema Pavillion di sini, semalam.

Menurutnya peminat TikTok juga mungkin tidak mengenali KRU tetapi memuatkan semula lagu-lagu mereka.

"Saya bersyukur kerana masih lagi dilihat relevan di mata mereka. Saya pun tak sangka. Saya berterima kasih kepada teknologi seperti TikTok dan YouTube kerana kalau tidak kami memang dah terkubur macam itu sahaja lepas dibubarkan.

"Saya rasa dengan adanya platform ini, bukan saja lagu KRU tapi lagu Elite dan Forteen, lagu-lagu yang kami buat tiba-tiba naik semula. Saya rasa ini satu perkembangan yang baik untuk penggiat industri seni dan meremajakan kami dari segi 'fanbase'.

"Kalau tidak 'fanbase' kita makin lama makin menjalani proses penuaan, sama macam kita yang menjalani proses penuaan, kelab peminat pun menjalani proses penuaan. Tapi kami ada peminat baru dan saya rasa ia sesuatu yang positif," katanya.

Terdahulu, Norman mengumumkan pembubaran trio terkenal tanah air era 1990-an itu pada satu sidang media 18 April 2018.

Menurutnya, pembubaran rasmi akan dilakukan sebaik tamat persembahan terakhir KRU di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Mei 2018.

Konsert Gergasi KRU25 berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Mei 2018.

"Setiap perkara pasti akan ada penghujungnya. Kami mempunyai perjalanan karier nyanyian menakjubkan sepanjang 25 tahun dalam industri muzik tanah air," katanya.

Norman berkata keputusan KRU untuk bersara sebagai penyanyi adalah supaya anggota kumpulan itu fokus sepenuhnya terhadap tanggungjawab masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, filem Geng Sakau vs Hantu Ting Tong dalam genre komedi seram diterbitkan oleh Astro Shaw & KRU Studios akan disiarkan menerusi Astro First bermula 5 Oktober depan.

Filem arahan Waan Hafiz ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Bell Ngasri, Shashic Lewan, James Arokisamy, Nabila Razali, Aziz M. Osman, Chew Kin Wah dan Chelsea Ng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:43 PM