Neera pandang positif biarpun dikecam. FOTO IG Neera/Youtube
Neera pandang positif biarpun dikecam. FOTO IG Neera/Youtube
Michelle Gun


"SAYA tak takut nyanyi live lagi," kata pelakon dan penyanyi Neera Azizi ketika mengulas kecaman netizen yang mendakwa suaranya sumbang ketika menyampaikan single sulung Rasa Hati di program bual bicara MHI, pagi semalam.

Neera, 20, turut memandang positif situasi terbabit apabila secara tidak langsung membantu mempromosikan nama dan lagunya.

"Ramai mula mengenali saya selepas menonton rakaman video persembahan di MHI yang ditularkan di media sosial.

"Malah, jumlah tontonan muzik video Rasa Hati di YouTube didapati bertambah," katanya ketika ditemui hari ini.

Pelakon drama Miss Kapten Cikgu Waiz itu berkata situasi sedemikian sudah dijangkakan apabila menceburi bidang nyanyian.

"Sebelum ini, ada beberapa artis lain turut dikecam teruk kerana dikatakan suara sumbang.

"Emosi saya langsung tidak terganggu dengan kritikan netizen dan menganggap isu terbabit sebagai pengalaman yang mendewasakan saya," katanya.

Setakat ini, rakaman video persembahan Neera di MHI ditonton hampir sejuta kali di Facebook.

Manakala muzik video Rasa Hati kini sudah mencecah lebih 10,000 tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:29 PM