KEJADIAN tidak lemahkan semangat Neera untuk terus buat persembahan secara langsung.
KEJADIAN tidak lemahkan semangat Neera untuk terus buat persembahan secara langsung.
Michelle Gun


Selepas empat tahun menceburi bidang lakonan tanpa sebarang kontroversi, nama Neera Azizi tiba-tiba menjadi perhatian selepas klip video persembahannya di program Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 tular, baru-baru ini.

Dalam program bual bicara yang ditayangkan secara langsung itu, Neera, 20, menyampaikan single sulungnya berjudul Rasa Hati.

Walaupun dikritik memiliki suara sumbang, Neera memandang positif isu berkenaan kerana ia sedikit sebanyak turut menaikkan nama dan lagunya.

“Sebelum ini, mungkin ramai kurang mengenali saya, tetapi selepas kontroversi itu, mereka dapat tahu saya pelakon drama.

“Malah, jumlah penonton klip video Rasa Hati di YouTube juga didapati meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Miss Kapten Cikgu Waiz itu menafikan sengaja menyanyi sumbang untuk mencari publisiti.

“Tiada sebab saya perlu melakukan perkara seperti itu. Saya pernah menyanyi secara langsung sebelum ini dan isu terbabit tidak timbul.

“Kalau betul suara saya teruk, pihak pengurusan pasti tidak membenarkan saya mengeluarkan lagu,” katanya.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Neera untuk terus membuat persembahan secara langsung.

“Situasi seperti ini sudah dijangka apabila saya membuat keputusan menjadi penyanyi,” katanya.

Menyanyi kerana mahukan kelainan

Bercerita mengenai keputusannya melebarkan sayap dalam bidang nyanyian, Neera memberitahu dia ingin menampilkan kelainan.

Penyanyi itu memilih genre pop jaz untuk single sulungnya kerana berpendapat lagu ‘jiwang’ sudah biasa diketengahkan dalam industri muzik tanah air.

“Saya selesa nyanyi lagu jaz. Lagipun, saya perlu pilih lagu yang sesuai dengan vokal serta karakter saya,” katanya.

Dengan kehadiran ramai penyanyi baru terkenal, Neera tidak menganggap mereka sebagai pesaing.

“Bagi saya, setiap penyanyi ada kelebihan sendiri dan tidak pernah menganggap saya lebih bagus daripada mereka.

“Setiap orang ada rezeki masing-masing dan harap pendengar dapat menerima baik lagu Rasa Hati,” katanya.

Rezeki murah sebagai pelakon

Dalam bidang lakonan, gadis berasal dari Kuantan, Pahang ini murah rezeki berikutan bakal keluar dalam beberapa drama dan filem.

“Saya sudah selesai penggambaran filem Musyrik dan telefilem TV3, Doa Ku Mohon.

“Sekarang, saya sibuk dengan penggambaran drama Andainya Takdir 2 dan akan datang, drama 24 episod berjudul Nafas.

Dalam Nafas, saya akan berlakon sebagai pesakit kanser dan akan buat kajian mengenai watak itu selepas mendapat skrip,” katanya.

Selain berlakon, anak bongsu daripada dua beradik ini turut menerima tawaran mengacara segmen karaoke dalam kereta untuk sebuah portal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:48 AM