ZAHID (empat dari kiri) bersama pemuzik yang terbabit dalam album Tuk Tak Mana Melayunya.
ZAHID (empat dari kiri) bersama pemuzik yang terbabit dalam album Tuk Tak Mana Melayunya.


Jika disebut siapa antara pemain dram paling versatil di negara ini, jawapannya ialah Zahid Ahmad, 51.

Dalam kalangan orang biasa, Zahid mungkin tidak begitu dikenali tetapi bagi penggiat industri rakaman, dia cukup dihormati.

Zahid juga lebih dikenali ketika bersama Roslan Aziz Productions (RAP) dan terbabit menghasilkan album terbitan RAP seperti Zainal Abidin, Sheila Majid dan Ikhlas.

“Saya antara tulang belakang RAP ketika itu. Saya bukan saja sebagai pemain dram, tetapi turut bertanggungjawab menentukan arah muzik album terbitan RAP.

“Selama 12 tahun bersama RAP, saya tiada ‘life’. Masa saya banyak dihabiskan dengan menghasilkan album dan mengadakan konsert jelajah dalam dan luar negara. Namun, ia antara era penting dalam kerjaya saya,” katanya yang juga pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan International College Of Music (ICOM).

Sejak awal 1980-an, Zahid sudah aktif sebagai ‘sessionist’ atau pemuzik undangan. Dia terbabit dalam ribuan rakaman lagu membabitkan ratusan penyanyi dan kumpulan rock. Boleh dikatakan hampir semua penyanyi lelaki, wanita dan kumpulan rock popular tanah air pernah menerima sentuhan permainan dram Zahid.

Sama ada muzik rock, pop, balada, tradisional, dangdut hinggalah fusion dan jaz, Zahid tiada masalah dengannya.

Zahid yang mula bermain muzik sejak berusia 10 tahun pernah merakamkan album bersama kumpulan Split Times berjudul Degil pada 1978.

Sejak itu, Zahid yang juga pernah bersama Search ketika bermain di kelab pada awal 1980-an tidak pernah menganggotai mana-mana band atau merakamkan album dan hanya aktif sebagai ‘sessionist’.

Selepas lebih 40 tahun bermain muzik, Zahid akhirnya tampil dengan album sulungnya berjudul Tuk Tak Mana Melayunya yang sudah pun berada di pasaran.

Apa yang menarik, album ini sudah dirancang 10 tahun lalu dan menjalani proses rakaman selama dua tahun.

“Saya cuba hasilkan muzik yang sedap. Saya juga mahukan kepuasan dan sebab itulah terhasilnya album ini,” katanya yang juga adik kepada bekas pemain dram Search, Yazit.

Menurut Zahid, muzik adalah kerjaya dan mata pencariannya. Jadi, dengan terhasilnya album ini juga membolehkan dia terus bermain muzik.

Tuk Tak Mana Melayunya mengandungi 11 lagu genre modern jazz dan fusion. Pada masa sama, ia turut mengetengahkan alunan tradisional Melayu yang diperkayakan dengan elemen mistik.

Ini termasuk pengaruh muzik dari Indonesia, Thailand dan China.

“Saya harap album ini boleh naikkan semangat anak muda bermain muzik. Kalau nak buat sesuatu, jangan cakap saja tapi buatlah terus.

“Saya sendiri sudah hasilkan album dan Buku Latihan Dram Jilid 1 dan bakal menghasilkan tiga jilid lagi. Inilah bukti yang saya boleh menceritakan siapa saya. Saya perhatikan kebanyakan anak muda sekarang lebih banyak menunggu dan tak buat apa-apa. Itu kena ubahlah,” katanya.

Ditanya apa maksud Tuk Tak Mana Melayunya, Zahid berkata, ia lebih kepada kiasan.

“Cuba sebut Tuk Tak laju-laju? Lama-lama ia akan kedengaran ‘Tau Tak’. Jadi, judulnya lebih kepada Tau Tak Mana Melayunya.

“Melayu itu daripada diri, alat atau perbuatan? Daripada kita sibuk bertekak dengan Indonesia mengenai siapa Melayu, lebih baik kita buktikan sesuatu. Inilah yang saya nak buat dengan album ini,” katanya.

Zahid berkata, ketika menjadi tenaga pengajar di sebuah univerisiti, dia marah apabila seorang pelajarnya malu untuk menghasilkan muzik joget dengan alasan ia tidak sebagus muzik Barat.

“Kalau rasa joget itu tak bagus, anda buatlah ia jadi bagus hinga kita bangga dengan joget,” katanya.

Tuk Tak Mana Melayunya yang menjalani proses mastering di Australia juga boleh didapati di semua platform digital seperti Apple iTunes, Amazon dan CDBaby.com .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 9:28 AM