GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Industri muzik tempatan pernah melalui zaman gemilang pada era 1980-an hingga pertengahan 1990-an apabila berjaya mendapat pulangan puluhan juta ringgit menerusi penjualan album penyanyi dan kumpulan muzik.

Ia boleh dikatakan zaman serba mewah buat syarikat rakaman, pemuzik undangan dan penyanyi apabila album mendapat sambutan hangat.

Bagaimanapun senario ini berubah apabila teknologi beralih kepada era digital, sekali gus menyaksikan pelbagai perubahan gaya hidup.

Antara yang terjejas teruk ialah kerjaya pemuzik undangan atau sessionist yang biasanya menyumbang khidmat mereka untuk rakaman album artis tempatan.

Nama-nama yang menyerlah sebagai pemuzik undangan antaranya Yan (bass), Along Exists (gitar), Shah Slam (gitar), Aznan Alias (gitar), Rafi Suhu (gitar), Lola XPDC (dram), Ujang Exists (dram), Gary Gideon (dram), Firdaus (keyboard), Zul Mahat (keyboard) dan ramai lagi.

Mereka yang satu ketika memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan kini terpaksa 'melopong.' Tawaran kerja sebagai pemuzik undangan hari ini sebenarnya hampir tidak ada!

Pemain bass yang juga anggota kumpulan Lefthanded, Yan berkata, perkhidmatan pemuzik undangan bukan lagi seperti dulu dan boleh diibaratkan hampir pupus.

"Sekarang tidak ada penyanyi yang merakamkan album penuh, mereka cuma rakam single. Kadang-kadang ada penyanyi buat album sendiri dengan konsep home studio dan tidak menggunakan khidmat pemuzik undangan.

"Tawaran untuk saya sendiri sudah tak banyak seperti dulu. Dah lama sebenarnya tiada tawaran dan memang terasa sangat kehilangan.

"Kalau ada pun sekarang sesekali saya jadi pemuzik undangan untuk lagu kumpulan rock. Untuk lagu pop memang tiada," katanya.

Yan atau nama sebenarnya Amran Marsiman berkata, dia lega kerana masih mempunyai pendapatan menerusi perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.

"Sekitar tahun 1990-an hingga awal 2000 saya ada kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekarang masih kekal berniaga kecil-kecilan. Selain itu, saya dapat royalti setiap tahun hasil pembabitan saya sebagai pemuzik undangan untuk beberapa album penyanyi sebelum ini," katanya yang juga bekas anggota kumpulan Search.

Selain Yan, ramai dalam kalangan pemuzik antaranya Gary Gideon, Aznan dan Rafi sudah mewujudkan saluran YouTube masing-masing sekali gus dapat menambah pendapatan.

Malah, ada juga yang aktif melakukan busking secara dalam talian terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Sementara itu, penerbit dan komposer, Othman Masri atau Man Senoi berkata, dia pernah memiliki studio rakaman dan meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan menerusi penyewaan studio dan sesi latihan.

Bagaimanapun, pendapatannya merosot apabila trend penyanyi merakamkan single atau satu lagu saja bermula.

"Saya terpaksa tutup studio dan membuat keputusan beroperasi secara home studio bagi menjimatkan kos. Sebenarnya agak sukar mencari penyelesaian dalam perkara ini. Persembahan menerusi media sosial atau YouTube kurang berjaya memandangkan ia masih baru dalam kalangan masyarakat," katanya.

'Sekarang hanya beberapa lagu setahun'

"Dulu saya pernah bermain untuk beberapa album dalam masa enam bulan, sekarang hanya beberapa lagu saja dalam setahun."

Itu kata pemain gitar, Along yang aktif sebagai pemuzik undangan selain bersama kumpulan popular, Exists.

Menurut Along, terlalu banyak perbandingan era dulu dengan sekarang.

"Dulu memang banyak lagu dirakamkan dari sudut kerja-kerja rakaman. Peluang pekerjaan untuk pemuzik undangan sekarang hanya bergantung kepada persembahan pentas atau program TV yang ada.

"Itupun tidak semua pemuzik yang terbabit. Ikutkan komposer dan penulis lirik juga terkesan dengan perubahan yang ada sekarang ini," katanya.

ALONG Exists (kiri). FOTO Arkib NSTP
ALONG Exists (kiri). FOTO Arkib NSTP

Along berkata, rakaman album adalah zaman kegemilangan kepada semua penyanyi serta orang di belakang tabir industri muzik.

"Cuma, zaman sekarang ada platform digital dan memudahkan semua pihak berkarya dan ketengahkan material baru mereka," katanya.

Sementara itu, Shah yang juga pemain gitar Slam berkata, masalah ini sudah lama berlaku terutamanya sejak syarikat rakaman memperkenalkan penerbitan album mini.

"Selepas itu Malaysia terbuka kepada multimedia pula. Sejak ada YouTube, strategi syarikat rakaman semua bertukar. Daripada buat album penuh, terus jadi single.

"Sebenarnya dari dulu memang sessionist di negara kita sudah struggle. Ramai orang kuat persatuan artis seperti pemain gitar, Aznan Alias dan Rafi Suhu memperjuang untuk harga perkhidmatan kami dan sebagainya. Namun tak boleh buat apa-apa dan kena hadap juga," katanya.

Shah mengakui kemelesetan rakaman lagu bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

"Ikutkan di Barat pun sudah tak keluar album, tapi single sahaja. Namun mereka konsisten.

"Di Malaysia kalau satu single tak jalan, artis itu tak buat lagi single lain. Jadi tiada kesinambungan daripada syarikat rakaman untuk industri muzik.

"Dulu sistem kerja lain berbanding sekarang. Pemuzik undangan yang baru nak bermula lagi sukar nak harapkan undangan beraksi di persembahan tertutup dan stesen TV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:00 PM