BLANK aktif sebagai penyanyi solo.
BLANK aktif sebagai penyanyi solo.
Nor Akmar Samudin


Vokalis kumpulan Gamma, Blank, 62, atau nama sebenarnya Rusli Mohd Sharif berasakan dia lebih menonjol selepas muncul solo apatah lagi dia tidak terikat dengan satu genre muzik saja.

Sejak kumpulan rock itu tidak lagi aktif pada 2007, Blank meneruskan perjuangannya dalam arena muzik tanah air bersendirian di samping turut melakukan pelbagai pekerjaan lain bagi menyara keluarga.

Blank ketika ditemui berkata, walaupun undangan persembahan tidak sekencang dulu, setiap bulan dia mendapat tiga atau empat tawaran persembahan.

“Selepas bergerak sendiri dan dengan kehadiran ramai bakat baru dalam industri muzik, saya juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

“Selain itu, saya juga sentiasa menjaga hubungan baik dengan kenalan lama dan penganjur acara yang kebanyakannya kawan lama. Dari situlah saya dapat tawaran membuat persembahan.

“Disebabkan tiada publisiti seperti dulu, mungkin ramai tidak tahu saya masih aktif menyanyi. Bayaran yang diterima boleh dikatakan masih okey,” katanya.

Menurut Blank, artis baru ramai yang tidak kenal Gamma, tetapi mereka beritahu pernah mendengar lagu Gamma yang sehingga kini masih popular seperti Kembang Terhalang dan Bahang Asmara.

“Apabila membuat persembahan bersama mereka dan perkenalkan diri saya, barulah mereka tahu saya vokalis Gamma. Saya okey saja dan faham kerana mereka muda-muda belaka, bapa mereka yang sezaman dengan kumpulan kami dulu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Blank berkata, dia sudah merakamkan tiga lagu berjudul Kekal Selamanya, Malam dan Rindu.

“Ketiga-tiga lagu itu sudah siap dan saya mahu menambah dua lagi lagu supaya boleh dijadikan album mini. Insya-Allah segala impian itu akan terlaksana tahun depan. Walaupun bergerak solo, saya terus membawa nama Gamma bersama supaya peminat muzik mudah ingat siapa saya.

“Memang zaman berubah, namun lagu Gamma ada yang terus diminati sehingga kini. Walaupun ketika persembahan saya turut menyisipkan lagu lain, lagu Kembang Terhalang dan Bahang Asmara kekal menjadi lagu wajib,” katanya.

Menariknya, pada usia sekarang, Blank kelihatan lebih ‘garang’ di pentas dengan membawakan lagu heavy daripada Iron Maiden dan Scorpions yang menjadi pujaannya.

“Saya sering membawakan lagu mereka ketika persembahan dan ia menjadikan penampilan saya dengan berjaket kulit paras lutut lebih menonjol daripada zaman saya muda dulu. Syukur, kesihatan saya masih bagus dan sering bersenam untuk mengekalkan stamina.

“Dalam seminggu, saya berjalan sejauh 20 kilometer, tidur enam jam sehari dan makan seperti biasa, tiada pantang larang tertentu,” katanya.

Bercerita mengenai ‘penyatuan’ Gamma semula, jelas Rusli, mungkin ia sukar dilaksanakan kerana masing-masing sudah lama membawa haluan sendiri.

Imbas semula penubuhan Gamma, ia adalah akronim nama bagi maksud ‘Gabungan Anak Muda Malaysia’.

Sejarah awal penubuhan Gamma pada 1980, dengan dianggotai tujuh beradik yang berasal dari Batu Arang, Selangor.

Sebelum terbentuknya Gamma, band itu menggunakan pelbagai nama kumpulan, seperti Black Jacket, Road Block, Otak Kuning, Seriwarna dan yang terakhir Gamma.

Nama itu dikekalkan menjelang pelancaran bagi album pertama mereka pada 1989. Dalam proses pembikinan album sulung itu, hanya tinggal dua beradik saja manakala lima lagi yang lain membawa haluan masing-masing.

Pada 1989, lahir album sulung Gamma yang diberi tajuk Suara Pasrah terbitan Perdana Muzik Industri (PMI).

Komposer Sani Sadin bertindak sebagai penerbit untuk album itu dan lagu yang paling hangat adalah Kembang Terhalang.

Pada 1990 lagu itu tercalon ke Anugerah Juara Lagu (AJL90) bersaing dengan artis popular lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 9:21 AM