Hattan amalkan sikap profesional ketika bekerja. - FOTO Arkib NSTP
Hattan amalkan sikap profesional ketika bekerja. - FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Memburu Rindu, Datuk Hattan, 54, menegaskan dia bersikap profesional dalam kariernya sebagai penghibur.

Hattan ditemui berkata dia menghormati semua parti politik di negara ini dan sedia bekerjasama sekiranya diundang menjayakan persembahan.

Ia sekali gus menjawab ‘dakwaan nakal’ mengenai Hattan yang dikatakan sudah beralih arah dengan menyokong kerajaan sekarang.

“Sebenarnya, sebagai penghibur saya profesional ketika bekerja.

“Tiada sekatan untuk saya menerima apa saja tawaran persembahan. Bagi saya, tidak kira majlis itu anjuran siapa asalkan dibayar saya akan buat.

“Kalau rezeki datang depan mata, takkan nak tolak. Sebagai selebriti, saya kena profesional,” katanya. Terdahulu, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, hadir pada majlis sidang media Konsert Picnic @ PD di sebuah restoran di ibu kota.

Konsert yang akan berlangsung esok dan Sabtu ini di Port Dickson, Negeri Sembilan adalah anjuran Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani (MADANI), Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Muafakat Anak Muda PD.

Menurut Hattan, apabila diberi tanggungjawab menghiburkan penonton, dia wajib melaksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin.

“Saya mahu orang terhibur dan biarlah persembahan saya itu berbaloi dengan bayaran yang diterima.

“Apa ideologi politik saya, ia adalah rahsia dan hak individu,” katanya.

Selain Hattan, Konsert Picnic @ PD itu turut dijayakan Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ito (Blues Gang), Blank Gamma, kumpulan Khalifah dan Wany Hasrita.

Manakala pelawak dan pelakon Saiful Apek dan personaliti TV Shakila Ismail bertindak sebagai pengacara konsert terbabit.

Pelbagai acara menarik disediakan untuk karnival dua hari itu termasuk Malam Hijrah Bersama Selebriti yang disertai Shamsul Ghau Ghau, Zul Handy Black, Iwan Dangdut dan dR Sam.

Tidak ketinggalan, turut dilancarkan Tabung Wira Cilik Malaysia bagi membantu anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:34 PM