Ridzuan Abdul Rahman

Kumpulan Wings dan MAY pernah mencatat sejarah tersendiri setiap kali mengadakan konsert ketika zaman kegemilangan muzik rock satu ketika dulu.

Apabila beraksi, mereka pasti berjaya menarik kehadiran ribuan peminat yang sentiasa dahagakan kemantapan vokal dan gaya memukau di atas pentas.

Oleh itu, ramuan menggandingkan kedua-dua vokalis kumpulan itu, Datuk Awie dan Mus dalam konsert sempena Wilayah International Motofest 2018 (WIM2018) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini adalah satu langkah bijak diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penganjur dengan kerjasama Kepala Kuasa Motorcycle Group (KKMG).

Buktinya, lebih 10,000 warga kota membanjiri lokasi popular ini bagi merasai dan mengimbas kembali keseronokan menyaksikan konsert seperti dulu.

Tanpa anggota asal Wings dan May, nyanyian Awie dan Mus diiringi barisan pemuzik yang dikenali sebagai Dragon Malaya terdiri daripada pemuzik berpengalaman seperti Lan Taro (gitar), Eddie Def Gab C (bass), Fuad Mohammad (keyboard) dan Pae (dram).

Sebagai penyanyi berpengalaman, Awie dan Mus bijak berkomunikasi dan mengawal peminat yang memberi respons terhadap persembahan mereka.

AWIE diiringi pemuzik Dragon Malaya iaitu Lan Taro (kiri) dan Eddie Def Gab C.
AWIE diiringi pemuzik Dragon Malaya iaitu Lan Taro (kiri) dan Eddie Def Gab C.

Bahkan, Mus yang tampil sebelum persembahan Awie, awal-awal lagi berpesan kepada penonton supaya sama-sama menggoyangkan badan dan kepala bersamanya kerana mereka bukan hadir menonton wayang atau menyaksikan persembahan ‘talentime’ di sekolah.

Penonton yang rata-rata terdiri daripada remaja dan penggemar motosikal tidak mahu ketinggalan sama-sama menyanyi dengan Mus.

Mus juga bijak memilih lagu popular MAY seperti Dari Kacamata, Sendiri, Cintamu Mekar Di Hati dan Gadis Bertudung Putih membuatkan peminat mudah mengingati liriknya.

Aksi lincah Mus di atas pentas ternyata turut diikuti peminat yang turut menari mengikut tempo lagu yang disampaikan pada malam itu.

BLANK Gamma
BLANK Gamma

Kemudian giliran Awie pula tampil di atas pentas. Kemunculannya dengan mengenakan tengkolok ala pendekar silam disambut dengan sorakan bergemuruh peminat.

Jika Mus bijak berkomunikasi, Awie pastinya lebih lagi kerana dia pandai berjenaka dengan peminat.

Perkataan popularnya ‘ini semua poyo’ tidak putus-putus diucapkan sekali gus membuatkan peminat ketawa mendengarnya.

Awie menyampaikan barisan lagu popular antaranya Peronda Jaket Biru, Lipas Kudung, Ratuku, Tragedi Oktober dan Ingatkan Dia.

Ketika persembahan Awie bermula, peminat yang pada awalnya duduk di bahagian belakang mula bangun dan menuju ke ruang hadapan pentas.

Awie bijak mengadunkan lagu rancak dan perlahan ditambah dengan gimik yang ditampilkan membuatkan persembahannya amat bertenaga.

ALI Lela
ALI Lela

Dia juga tidak pernah ketinggalan menyanyikan lagu lamanya kerana sedar ia masih diminati sehingga sekarang.

Sebagai penutup, dua legenda rock ini berpadu suara mendendangkan lagu menarik iaitu Blues Ular Sawa sekali gus memberikan kepuasan buat peminat yang hadir.

Sementara itu, pada acara sebelah petangnya, peminat disajikan dengan persembahan kumpulan Spider serta penyanyi utama otai rock iaitu Nik Putra, Blank Gamma, Isa Gravity dan Ali Lela.

Biarpun cuaca agak panas, ia tidak langsung menghalang peminat untuk setia menanti persembahan mereka dari awal sehingga akhir.

NIK Putra dikelilingi peminatnya.
NIK Putra dikelilingi peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:23 AM