NASH bersama sebahagian daripada produk Entrusol.
NASH bersama sebahagian daripada produk Entrusol.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: My Innovative Wellness Sdn Bhd pengeluar produk kesihatan minuman bijirin oat di bawah jenama Entrusol kini berada di landasan tepat untuk merealisasikan peluasan perniagaannya ke pasaran global menjelang 2025.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nash Mohamad Aris berkata, jenama Entrusol sudah mula dikenali dan berada di pasaran Singapura, Brunei, Indonesia dan Selatan Thailand.

Katanya, perancangan syarikat untuk fokus di seluruh pasaran tempatan bagi 2020 hingga tahun ini juga berjalan seperti disasarkan dan sehingga kini terdapat 10 unit simpanan stok (SKU) Entrusol.

"Selain minuman bijirin oat Entrusol, syarikat turut mengeluarkan snek kesihatan granola dan kudapan sihat Entrusol yang sedia dimakan dengan pelbagai pilihan perasa.

"Awal pengeluaran produk kira-kira 3,000 unit dan sekarang setiap bulan syarikat dapat menjual 25,000 hingga 30,000 produk dengan menggunakan model perniagaan secara langsung kepada pelanggan iaitu melalui kios yang dibuka di pasar raya besar dan stesen LRT.

"Selain offline syarikat juga memasarkan produk Entrusol melalui platform sendiri dan e-dagang lain seperti Shopee dan Lazada," katanya.

Menurutnya, bermula tahun depan dan 2024, syarikat akan memberi tumpuan menembusi pasaran Asia Tenggara melalui produk dan snek kesihatan Entrusol.

Nash berkata, seterusnya menjelang 2025 pihaknya komited meneroka pasaran halal global termasuk dengan pengenalan aplikasi kesihatan halal.

"Kami turut merancang menembusi pasaran Korea, Jepun, China, Eropah dan Timur Tengah untuk membawa transformasi kepada snek lebih berkhasiat dan sedap bersama Entrusol.

"Syarikat juga akan mengeluarkan produk lain dengan sasaran 30 SKU menjelang akhir tahun depan dan akan bekerjasama dengan jenama lain untuk menghasilkan produk berkhasiat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 8:29 AM