KEDAI MR DOLLAR Cawangan Cheras Selatan.
KEDAI MR DOLLAR Cawangan Cheras Selatan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) komited membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan isi rumah pada harga yang berpatutan menerusi 52 rangkaian MR DOLLAR di seluruh negara.

Naib Presiden Pemasaran dan e-dagang MR DIY Group, Andy Chin berkata, usaha itu selari dengan slogan MR DOLLAR, Harga Kami Tetap Sama, RM2 Atau RM5.

Katanya, rakyat Malaysia boleh mendapatkan pelbagai jenama makanan kegemaran mereka seperti daripada jenama terkenal dan pelbagai lagi keperluan rumah di cawangan MR DOLLAR.

"MR DOLLAR menawarkan pelbagai jenis produk membabitkan 10 kategori iaitu coklat dan manisan, snek dan biskut, bahan masakan, barangan runcit, minuman, produk bakeri, makanan sejuk beku, keperluan rumah, perkakasan, alat tulis, mainan dan sukan yang setiap satunya berharga RM2 atau RM5.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan produk makanan dan minuman (F&B) serta keperluan rumah lebih mudah didapati oleh lebih ramai pengguna," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, semua barang yang dijual memang sentiasa pada harga RM2 atau RM5 dan ini untuk membolehkan orang ramai dapat berbelanja mengikut kemampuan, di samping menjamin kualiti produk.

Chin berkata, pada masa ini pihaknya mempunyai mempunyai 12,000 produk unit simpanan stok (SKU) yang sama di semua cawangan dari segi harga dan jenama.

Beliau berkata, pihaknya merancang memperkenalkan produk SKU jenama MR DOLLAR sendiri tidak lama lagi apabila sudah mencapai tahap operasi memberangsangkan.

"Bagaimanapun, buat masa ini kami masih menumpukan kepada produk SKU daripada jenama tempatan. Ini kerana kami ingin membantu mengembangkan ekosistem perniagaan terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Beliau berkata, banyak jenama produk yang dijual di MR DOLLAR tidak terdapat di tempat lain dan mempunyai keunikan produk tersendiri.

Katanya, ia memandangkan kumpulan menjalin kerjasama erat dengan pengusaha tempatan bagi memberikan bukan sekadar nilai tambah kepada pengguna, malah pengusaha tempatan terutama PKS.

"Apabila mengambil barangan dari PKS tempatan, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kapasiti perniagaan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

"Ini antara agenda utama MR DIY dan selain memberikan produk pada harga murah dan berkualiti kepada pelanggan, kami juga membantu pengukuhan ekosistem perniagaan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, mengenai rancangan pengembangan syarikat, Chin berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka lebih banyak rangkaian MR DOLLAR menjelang tahun depan.

"Setakat ini kami mempunyai 52 cawangan termasuk di Sarawak. Walaupun jenama ini baru dilancarkan pada Ogos 2020, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama ditamatkan, ia menjadi pilihan pelanggan dan kami memang merancang untuk membuka lebih banyak cawangan MR DOLLAR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:00 AM