Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Hasil pemantauan dijalankan Kementerian Kesihatan sehingga kini menunjukkan, racun perosak glyphosate tidak dikesan dalam produk makanan bijirin oat yang dijual di pasaran tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara berkenaan adalah susulan daripada isu rracun perosak glyphosate dalam produk makanan bijirin jenama Quaker Oats disiarkan melalui laman web Fox News dan New York Post serta menjadi 'viral' di media sosial kebelakangan ini.

"Glyphosate sejenis racun rumpai dan mengikut sub peraturan 41(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kadar maksimum residu glyphosate yang dibenarkan dalam makanan bijirin termasuk oats adalah 30mg/kg.

"Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna melalui penguatkuasaan bersungguh-sungguh dan berterusan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan seorang pengguna di Brooklyn, Amerika Syarikat mengemukakan saman ke atas syarikat pengeluar makanan bijirin jenama Quaker Oats kerana syarikat itu didakwa menyembur glyphosate ke atas oat sebagai agen pengering sejurus sebelum oat dituai.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika ada aduan berkaitan keselamatan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 10:39 AM