NORAZLINA  (tengah) di majlis pelancaran produk penyembur fabrik keluaran DeeDat Air Care.
NORAZLINA (tengah) di majlis pelancaran produk penyembur fabrik keluaran DeeDat Air Care.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: DeeDat Air Care, pengeluar produk kebersihan dan pewangi tempatan merancang untuk meneroka pasaran Brunei dan Indonesia menjelang tahun depan menerusi produk pewangi kereta, tisu basah dan pembersih fabriknya.

Pengasasnya Norazlina Yaakob berkata, sejak tiga tahun DeeDat Air Care berada di pasaran pihaknya sudah mengembangkan perniagaan hingga ke Singapura.

"Kami sudah mengembangkan perniagaan hingga ke Singapura dan bercadang untuk ke pasaran Brunei dan Indonesia selepas ini berikutan mendapat permintaan di sana.

"Syarikat turut memperkenalkan produk baru iaitu penyembur fabrik DeeDat Air Care, sekali gus melengkapkan barisan produk sedia ada iaitu pembersih dan pewangi rumah, pejabat, kereta serta tisu basah di bawah jenama sama.

"Semua produk ini tidak mengandungi bahan terlarang atau berbahaya kepada kesihatan pengguna kerana kami mahu memastikan kesihatan pelanggan tidak terjejas untuk jangka masa panjang," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, tisu basah keluaran syarikat itu menjadi antara produk yang sentiasa mendapat permintaan pelanggan kerana sesuai digunakan untuk semua termasuk bayi serta membantu menanggalkan solekan yang bertindak seperti air dan sabun bagi membersihkan wajah.

Norazlina berkata, sebagai usaha meluaskan rangkaian pemasaran DeeDat Air Care, pihaknya bakal menambah lebih ramai pengedar dan ejen dropship khususnya untuk suri rumah dan individu yang ingin membuat pendapatan sampingan.

Beliau berkata, produk Deedat Air Care dijual pada harga serendah RM10 dan bebas toksin serta didatangkan dengan aromaterapi bagi memberi ketenangan kepada pengguna sama ada ketika berada dalam kenderaan di rumah atau pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:01 AM