DJOKOVIC tersenyum bersama kek ulang tahun kelahirannya ke-37 selepas menewaskan Hanfmann. FOTO AFP
DJOKOVIC tersenyum bersama kek ulang tahun kelahirannya ke-37 selepas menewaskan Hanfmann. FOTO AFP
AFP

Geneva: Novak Djokovic meraikan hari lahir ke-37 dengan kemenangan ke-1,100 dalam kariernya untuk melangkah ke suku akhir ke Geneva, awal pagi tadi, dalam kejohanan pemanas badan sebelum mempertahankan gelaran di Terbuka Perancis.

Pemain nombor satu dunia itu menumpaskan pemain Jerman, Yannick Hanfmann 6-3, 6-3 di pusingan kedua kejohanan di Parc des Eaux-Vives.

Djokovic muncul pemain lelaki ketiga selepas Jimmy Connors dan Roger Federer yang mencapai 1,100 kemenangan dalam karier.

Djokovic bermain menerusi wild card di Geneva dalam usaha membangkitkan semula prestasi yang agak menurun menjelang kempen Terbuka Perancis, minggu depan, yang juga acara Grand Slam kedua bagi tahun ini.

Rekodnya bagi tahun ini adalah 13 kemenangan serta lima kali tewas dan belum lagi mara ke final kejohanan pada 2024.

Selepas menewaskan Hanfmann, penonton menyanyikan lagu 'Happy Birthday' kepada Djokovic sambil kek dengan lilin dibawa ke tengah gelanggang.

Dia mengangkat kek dan menunjukkan kepada penonton sebelum memotong dan menawarkannya kepada budak pengutip bola.

"Kunci utama adalah hari lahir. Hari lahir saya mungkin tidak sama jika saya gagal menang perlawanan ini," kata pemain Serbia itu.

"Memang menarik berada kali pertama di sini dalam kejohanan ini dan ahli keluarga saya turut hadir memberikan sokongan kerana saya membesar dengan bapa saudara, ibu saudara dan dua sepupu untuk sebahagian besar hidup saya," katanya merujuk kepada sanak saudaranya yang tinggal di Geneva.

"Terima kasih kerana menyanyikan lagu 'Happy Birthday'. Ia benar-benar menyentuh perasaan dan saya sangat gembira menang perlawanan pada hari istimewa ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:42 AM