Mahkamah Sesyen menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mahkamah Sesyen menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes Hafizul Hawari yang sebelum ini didakwa tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata pada 15 April lalu.

Hakim Nik Habri Muhamad membuat ketetapan berkenaan selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Mohammad Shafiq Mohammad Lazim.

Mohammad Shafiq ketika ditemui memaklumkan prosiding hari ini adalah bagi penyerahan dokumen sebelum tarikh sebutan semula yang ditetapkan pada 30 Jun depan.

"Tertuduh kini berada di Penjara Sungai Buloh memandangkan terdapat kes di Mahkamah Sepang dan Mahkamah Syariah di Gombak Timur," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Hafizul yang sebelum ini melepaskan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditahan polis di Jalan Bayam, di sini, pada 15 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:58 AM