ILUSTRASI tiub berlabel selesema burung. FOTO Reuters
ILUSTRASI tiub berlabel selesema burung. FOTO Reuters
AFP

Washington: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan kes kedua selesema burung ditemukan pada manusia.

Ia kurang dua bulan selepas yang kes pertama seumpamanya ketika wabak penyakit itu tersebar secara meluas dalam kalangan lembu tenusu.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua individu dijangkiti virus dikenali penyakit selsema burung (H5N1) adalah pekerja ladang tenusu yang hanya mengalami gejala kecil dan sudah pulih. Kes pertama di Texas dan kedua, di Michigan.

Walaupun kes kedua itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata, penilaian risikonya untuk orang awam kekal rendah tetapi ia menjangkakan lebih banyak kes.

"Memandangkan tahap tinggi virus dalam susu mentah daripada lembu yang dijangkiti dan penyebaran virus dalam lembu tenusu, kes manusia tambahan yang serupa boleh dikenal pasti.

"Bagaimanapun, jangkitan manusia sporadis tanpa penyebaran berterusan tidak akan mengubah penilaian risiko CDC untuk orang awam AS, yang dianggap rendah oleh CDC.

"Kes terbaru di Michigan membabitkan pekerja di ladang tenusu di mana virus H5N1 dikenal pasti dalam lembu," kata CDC.

Menurut Michigan Health and Human Services, pekerja terbabit hanya mengalami gejala ringan dan sudah pulih.

Dua spesimen diambil daripada pekerja berkenaan, dengan setiap satunya melalui hidung dan mata.

Hasil ujian mendapati hanya spesimen pada mata individu itu yang diuji positif.

"Sama dengan kes Texas, pesakit hanya melaporkan gejala pada mata," kata CDC.

Sehingga Rabu, sejumlah 52 ternakan AS dijangkiti selesema burung di sembilan daripada 50 negeri di AS.

Tiada bukti penularan dari manusia ke manusia pada masa ini tetapi pegawai kesihatan bimbang jika virus itu akhirnya merebak secara meluas ia boleh bermutasi menjadi bentuk yang boleh merebak antara manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:55 AM