PAPAGOMO.
PAPAGOMO.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Representasi dikemukakan bekas Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo bagi menggugurkan tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut iaitu kerajaan pro-Israel dan barat tahun lalu ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan hari ini kepada Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali pada prosiding sebutan bagi mengetahui representasi yang dikemukakan Papagomo, 41, pada 5 April lalu.

"Berhubung representasi yang dikemukakan tertuduh pada 5 April lalu, arahan yang diterima daripada AGC pada pagi ini adalah untuk meneruskan kes. Representasi tertuduh ditolak," kata Deepa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh berkata pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh pengurusan kes dalam masa sebulan bagi menyerahkan baki dokumen.

Peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri mengesahkan perkara itu.

Sehubungan itu, Siti Aminah berkata, kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ini pada 11, 12, 29 dan 30 Julai dan menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 4 Julai ini.

Pada 8 Januari lalu, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.

Dia didakwa menghasut di laman Facebook 'Halid Hamidi (Halid Mat Kool)' dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari, 8 November tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:52 AM