NURUL Hana menunjukkan tudung dan tutorial yang disediakan untuk pelanggan.
NURUL Hana menunjukkan tudung dan tutorial yang disediakan untuk pelanggan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam

Comdev Venture Sdn Bhd, pengeluar hijab di bawah jenama Scarf Secret yakin menembusi pasaran luar negara selepas menerima permintaan dari Jordan, Australia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Pengasas Bersama Scarf Secrets, Nurul Hana Mayikhi berkata, walaupun baru di pasaran, jenama Scarf Secret semakin mendapat sambutan wanita bertudung kerana menampilkan kesegaran pada rekaannya.

Katanya, setakat ini Scarf Secrets mempunyai 24 stokis serta lebih 200 ejen di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura.

“Kami mengintai peluang menembusi pasaran luar negara dan menyasar mewujudkan rangkaian francais menjelang 2015. Buat masa ini, kami lebih fokus pemasaran melalui online.

“Scarf Secrets adalah produk hijab pertama di Malaysia yang membuat jualan melalui katalog serta didatangkan dengan pembungkusan menarik dan tutorial bertudung,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain itu pemasaran produk secara online banyak membantu jenama hijab Scarf Secrets dikenali di luar negara.

Nurul Hana berkata, pihaknya bercadang mengembangkan lagi jenama Scarf Secrets di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan mempelbagaikan produk yang dijual.

“Setiap bulan kami mengeluarkan 20 rekaan baru untuk dipasarkan dan pemilihan fabrik pula kebanyakannya diambil dari Korea. Kami bercadang menjual produk berkaitan Muslimah pada masa depan termasuk aksesori.

“Jualan hijab Scarf Secrets di seluruh negara kini mencecah 5,000 helai setiap bulan dan kami menyasarkan peningkatan kepada 10,000 helai sebulan menjelang tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan jualan 30,000 helai tahun depan bagi pasaran luar negara dan untuk maklumat lanjut boleh melayari www.scarfsecrets.com atau Facebook (Scard Secrets).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:02 AM