Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Langkap, Teluk Intan susulan penahanan seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama lebih sembilan kilogram (kg) heroin dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Langkap, Isnin lalu.

Suspek yang juga penganggur itu disyaki mula terbabit dalam aktiviti itu yang bekalannya diperoleh daripada negeri jiran sejak mula masuk ke Malaysia secara tidak sah pada Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Katanya, pemeriksaan di rumah terbabit menjumpai 20 paket plastik lutsinar berisi heroin dengan anggaran berat 9,010 gram (g) dianggarkan bernilai RM110,000 yang diletakkan dalam sebuah beg beroda berzip warna 'rose gold'.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine namun semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Mac lalu.

"Dadah yang dirampas disyaki untuk edaran di pasaran tempatan negeri Perak dan jumlah dadah yang dirampas boleh menampung permintaan 11,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Yusri dalam pada itu sempat berseloroh ketika membacakan kenyataan media mengenai kejayaan polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Langkap.

"Kawasan Langkap, Perak... Kampung aku ni (ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:50 AM